UKM Menjalankan Penyelidikan Pelbagai Sumber Tenaga Mesra Alam

AHAD, 22 JULAI 2012 00:00
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 19 Julai 2012 – Beberapa jenis sumber tenaga atau bahan api mesra alam, termasuk tenaga suria, selfuel hidrogen, biodiesel, bahan api sisa organik dan etanol yang semuanya sedang dikajiselidik di Universiti Kebangsaan Malaysia mungkin dapat menggantikan bahan api dari petrol dan diesel dengan sepenuhnya menjelang 2050.

Seorang penyelidik dan pakar tenaga yang terkenal dari Iran, Profesor Ghasem D Najafpour berpendapat penggunaan sumber bahan api alternatif demikian bergantung kepada jenis alat dan kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan motor atau enjin.

Ketika menyampaikan Syarahan Umumnya mengenai Sumber Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Pada Masa Hadapan di UKM hari ini, Prof Najafpour berkata tenaga yang boleh diperbaharui dari sisa pertanian dan air kumuhan sudah boleh dimanfaatkan sekarang walaupun dengan teknologi semasa.

Ia hanya memerlukan perubahan sikap misalnya oleh pihak industri yang sudah boleh menggunakan sisa pertanian dan air kumbahan yang terdapat dengan banyaknya dan murah untuk menjana tenaga di kilang atau premis mereka.

Syarahan Umumnya itu dianjurkan oleh Institut SelFuel UKM. Prof Najafpour ialah Profesor Pelawat di situ.

Beliau berkata penyelidik di Amerika Syarikat telah berjaya menghasilkan tenaga yang boleh diguna untuk mengubah air ke bahan api hidrogen. Kaedah itu agak mudah, efisien dan sedikit sebanyak dapat menghasilkan tenaga dari bahan yang biasanya dibuang begitu sahaja.

Selfuel hidrogen adalah teknologi yang sesuai buat masa ini untuk menjana enjin kereta atau kenderaan lain bagi menggantikan petrol. Penggunaan selfuel hidrogen sedang dikaji secara intensif di UKM.

Selfuel adalah satu peranti yang menukar tenaga kimia dari bahan api ke elektrik melalui tindak balas kimia dengan oksigen atau ejen pengoksidaan lain. Hidrogen adalah bahan api yang paling lazim, tetapi hidrokarbon seperti gas asli dan alkohol seperti metanol kadang-kadang digunakan.

Selfuel berbeza dari bateri kerana ia boleh menghasilkan elektrik berterusan selagi dibekalkan ejen pengoksidaan manakala bateri perlu dicaj selepas digunakan beberapa ketika.

Selfuel hidrogen mempunyai kelebihan berbanding biofuel air kumbahan dan sisa buangan pertanian kerana ia boleh direkabentuk padat untuk dipasang dalam kereta, manakala biofuel sisa buangan lebih sesuai untuk infrastruktur besar kerana penjaan tenaga memerlukan bahan itu yang banyak.

Namun kerana bahan-bahan itu boleh didapati dengan banyaknya dan pada harga murah pula, ia sudah boleh digunakan oleh industeri hanya dengan menggunakan teknologi yang sudah sedia ada.

Etanol dan biodiesel juga didapati ekonomik dan mudah diperolehi. Bahan api etanol ialah etil alkohol sama dengan alkohol yang terdapat dalam minuman keras. Ia biasa digunakan sebagai bahan api motor, terutamanya sebagai bahan tambah biofuel bagi petrol, katanya.

Pengeluaran etanol untuk bahan api pengangkutan telah meningkat tiga kali ganda antara 2000 dan 2007 daripada 17 bilion liter kepada 52 bilion liter. Ia digunakan secara meluas di Brazil dan di Amerika Syarikat yang mengeluarkan 87.1% daripada keseluruhan pengeluarannya di dunia pada 2011.

Kebanyakan kereta di Amerika Syarikat sekarang boleh menggunakan tenaga campuran terdiri daripada 10% etanol. Bagaimanapun, ia tidak boleh menggantikan petrol sepenuhnya.

Prof Najafpour juga meramalkan penggunaan tenaga suria dengan lebih meluas pada masa hadapan. Tenaga suria adalah penggunaan cahaya matahari utuk menjana elektrik. Cahaya matahari boleh diubah secara langsung ke elektrik menggunakan sel fotovolta (PV), atau tidak langsung dengan kuasa solar tertumpu (CSP), yang menumpukan tenaga matahari untuk memanaskan air yang kemudiannya digunakan untuk menjana kuasa.

Prof Najafpour memperolehi ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari University of Oklahoma pada tahun 1977 dan PhD dalam Kejuruteraan Kimia dari Universiti Arkansas pada tahun 1983.

Beliau juga tidak asing lagi di kalangan penyelidik tenaga mesra alam di Malaysia kerana pernah berkhidmat sebagai Prof Madya di Universiti Sains Malaysia dari 1998 hingga 2005 apabila beliau dilantik sebagai profesor di Fakulti Kejuruteraan Kimia di Babol Noshirvani University of Technology, Iran.

Semasa di sini,Prof Najafpour telah memenangi beberapa pingat emas untuk penyelidikan dan inovasi, termasuk pingat emas Anugerah Rekacipta/Inovasi untuk penyelidikan tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia pada tahun 2003.

Beliau kini sedang menyelia beberapa penyelidik PhD dan menjalankan projek penyelidikan dalam biodiesel, biohidrogen, biofuel, bioetanol dan lain-lain sumber tenaga yang boleh diperbaharui.