Wanita Pertama Czech Berhasrat Menubuhkan Sekolah Pintarnya Sendiri

JUMAAT, 06 JULAI 2012 15:36

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 5 Julai 2012 – Isteri Presiden Republic Czech, Livia Klausová yang kagum dengan pusat kanak-kanak pintar UKM, PERMATAPintar® berharap dapat menubuhkan sebuah institusi seumpama di Prague.

Beliau berkata guru dan pensyarah dari negaranya boleh belajar daripada pengalaman Universiti Kebangsaan Malaysia, khasnya pusat PERMATApintar®.

Puan Klausová, yang mengiringi suaminya, Presiden Czech Václav Klaus dalam lawatan negara ke Malaysia dari 4 Julai hingga 7 Julai berkata mulanya beliau ingat lawatan itu adalah ke sekolah biasa.

Beliau berkata jika diketahui lebih awal mengenai pusat itu, beliau sudah pasti akan cuba membawa pakar-pakar dan pensyarah khas dari negaranya untuk membuat kajian mengenai pengendalian sekolah istimewa itu.

Beliau berkata demikian selepas diberi taklimat mengenai pusat itu oleh Pengarah PERMATApintar®, Profesor Dr Noriah Mohd Ishak.

Turut hadir Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Rahmah Mohamed.

Puan Klausová, seorang pakar Ekonomi berkata University of Prague mungkin berminat untuk membentuk sebuah institusi seperti PERMATApintar®.

Kini terdapat empat rakyat Malaysia sedang melanjutkan pengajian di University of Prague – dua daripada mereka menuntut di bidang perubatan.

Beliau juga telah melihat banyak perubahan dan kemajuan di negara ini sejak pertama kali melawat Malaysia pada tahun 1996 ketika suaminya menjadi Perdana Menteri Czech.

Rombongan Czech itu melihat sesi kelas di PERMATApintar®, serta makmal sains dan perpustakaan. Puan Klausová juga sempat bertemu dan berbual dengan pelajar-pelajar yang memaklumkan pelajaran mereka memang mencabar.

Tetamu-tetamu itu kemudianya dihibur oleh empat orang pelajar yang bermain muzik tradisional Asia dan klasik Barat.

 

Puan Klausová telah menghadiahkan sebuah alat muzik tiupan tradisional Czech yang diperbuat dari fabrik, tembaga dan kayu, Dudy.

Beliau dilahirkan pada tahun 1943 dengan nama Livia Mištinová, di Bratislava, Slovak. Ketika itu Czech dan Slovak adalah satu negara yang di namakan Czechoslovakia.  Beliau menjadi  “Wanita Pertama” Republik Czech sejak tahun 2003 apabila suaminya, Václav Klaus dipilih menjadi Presiden menggantikan Václav Havel yang meninggal dunia.

Beliau adalah graduan University of Economics, Prague, di mana beliau menemui  Václav Klaus dalam tahun 1968. Mereka mempunyai dua orang anak lelaki, Václav  dan Jan dan lima orang cucu.

Republik Czech adalah sebuah negara daratan di Eropah Tengah bersempadan dengan Poland di utara, Jerman di barat, Austria di selatan dan Slovakia ke timur. Prague adalah ibu negeri dan bandar terbesar dengan 1.3 juta penduduk.

PERMATApintar ® menganjurkan program pendidikan tahunan yang pertama dalam tahun 2009 yang digelar Holiday Camp. Ia diusahakan dengan kerjasama pusat pintar Johns Hopkins University untuk anak-anak berbakat dan pintar menawarkan kursus persekolahan untuk kanak-kanak berumur sembilan hingga 15.

Lebih daripada 1,500 pelajar dari Malaysia dan negara-negara lain termasuk Singapura, Brunei, Oman dan India pernah mengambil bahagian.