Dua Orang Lagi Ahli Sains UKM Dilantik Sebagai Felo Akademi Sains Malaysia

JUMAAT, 29 JUN 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 28 Jun 2012 – Dua orang lagi ahli sains Universiti Kebangsaan Maslaysia (UKM), Prof Dr Normah Mohd Noor dan Prof Dr Salmaan H Inayat Hussain adalah di antara perlantikan terbaru Felo Akademi Sains Malaysia (ASM).

Prof Normah ialah Pengarah Institut Biologi Sistem (IMBIOSIS) manakala Prof Salmaan ialah Dekan Fakulti Sains Kesihatan dan Profesor Toxikologi.

Perlantikan mereka diputuskan oleh Lembaga ASM pada bulan Mei tetapi tarikh upacara perlantikan rasmi akan hanya diumumkan kemudian mungkin selepas Hari Raya Aidil Fitri.

Sebelum ini Pengarah Institut SelFuel, Prof Ir Dr Wan Ramli Wan Daud telah juga dilantik sebagai Felo Akademi itu pada mesyuarat Agong Tahunannya yang ke 17 pada 28 April lalu.

ASM adalah sebuah badan berkanun kerajaan yang ditubuhkan untuk menerus, menggalak dan meningkatkan kecemerlangan dalam bidang Sains, Kejuruteraan dan Teknologi untuk pembangunan negara dan memberikan manfaat kepada rakyat.

Felo Akademi dipilih di kalangan rakyat Malaysia berdasarkan pencapaian cemerlang dan luar biasa dalam bidang Sains, Kejuruteraan atau Teknologi.

Prof Normah mencebur diri dalam penyelidikan krio awetan atau cryopreservation dan pertumbuhan in vitro bagi spesis buah-buahan tropika (khasnya citrus, garcinia and nephelium) dengan biji-benih rekalsitran yang telah memajukan lagi ilmu mengenai pemuliharaan di luar persekitaran atau ex situ dan pembiakan secara mikro spesies-spesies itu.

Beliau juga menyelidik sifat-sifat biji benih spesies baccaurrea dan krio simpanan biji benih. Usaha lanjutan juga dibuat untuk spesies nepenthes (mangkuk kera), sejenis spesies terancam, menguna krio pengawetan.

Prof Salmaan pula adalah penerima Felo Saintis Pelawat bagi Pertubuhan Untuk Menggalakan Sains Jepun (JSPS-VCC), dan Felo Sains Pelawat ke Chiba University, Kyoto University dan Okayama University, Jepun pada 2006. Beliau membuat kajian mengenai bahan toksik dalam Quinone, sejenis kelas sebatian organik yang diperolehi dari sebatian aromatik seperti benzen atau nafthalen.

Beliau juga adalah seorang anggota Badan Penasihat Institut Antarabangsa Universiti Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Kesihatan Dunia.