Inovasi dan Keusahawanan Kunci Untuk Meletakkan UKM Sederap Universiti Terkehadapan Dunia

ISNIN, 11 JUN 2012 17:38

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2012 – Inovasi dan Keusahawanan adalah ciri-ciri yang diperlukan untuk meletakkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sederap universiti terkehadapan dunia menjelang tahun 2018.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata visi transformasinya akan mendorong UKM menjadi universiti penyelidikan yang setanding dengan universiti-universiti terkemuka dunia.

Berucap di bengkel UKM Sederap Universiti Terkehadapan Dunia 2018 dan pelancaran Kad Skor UKM di sini hari ini, beliau berkata misi transformasinya ialah untuk menjadikan UKM sebuah universiti terpilih yang memartabatkan bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan.

Prof Sharifah Hapsah berkata matlamat transformasi ialah menjadikan UKM sebuah institusi yang terkenal seluruh dunia dan memberi sumbangan kepada pembangunan lestari negara.

Dengan ranking THES yang meletakkan UKM di tangga 98 daripada 100 universiti teratas dunia di bawah umur 50 tahun dan QS yang meletakkan UKM di tempat 31 daripada 50 universiti dunia di bawah umur 50 tahun, UKM mempunyai enam tahun untuk mencapai kejayaan ini.

UKM adalah satu-satunya universiti di Malaysia untuk mencapai kejayaan ini.

Bengkel dua hari itu di anjurkan oleh Pusat Perancangan Korporat dan Kepimpinan UKM.

Strategi UKM ialah menumpu usahanya untuk menyungkil bakat berniaga supaya UKM memperolehi pendapatan melalui syarikat-syarikat yang ditubuhkan khas untuk tujuan itu.

Penemuan saintifik dan teknologi perlu dijadikan produk atau perkhidmatan yang sesuai dicatat sebagai hakmilik dengan penyertaan swasta. Dengan cara ini UKM boleh memperolehi pendapatan hasil dari inovasi dan penemuan baru, katanya.

Ini dapat dicapai dalam pelan transformasi, iaitu Mengajar dan Belajar, Kepimpinan, Bakat, Governans dan Penyelidikan serta Penyertaan Amali dengan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) atau agensi kerajaan.

Setiap kakitangan akademik digalakkan menjalani program amali sekali dalam tempoh 10 tahun pertama perkhidmatan manakala kakitangan akademik yang telah berkhidmat 10 tahun juga digalakkan menyertai skim itu tertakluk kepada perancangan sumber manusia dan kelulusan universiti

Prof Sharifah Hapsah andaikan UKM sebagai seekor burung Camar Laut sedang dalam perjalanan ke destinasi yang penuh cabaran dan yakin selagi ia dapat melengkapkan diri dengan alat yang sesuai, ia akan sampai juga ke destinasi yang dituju itu.

UKM perlu menyertai pembangunan kebangsaan dan memperolehi fadilat atau kemasyhuran di peringkat antarabangsa, manakala perkhidmatan penyelidikan pengajian diperlukan untuk mendorong proses itu manakala perjalanannya itu juga perlukan sistem penghantaran yang cekap.

Destinasi perjalanannya itu ialah membantu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang memuaskan.

Dalam usaha memantau perjalanan itu, UKM perlukan Kad Skor yang akan mencatat pencapaian setiap aspek operasinya.

Prof Sharifah Hapsah mengingatkan fakulti-fakulti bahawa para siswazah juga perlu mengilhami dasar-dasarnya itu untuk menjayakan visi tersebut.

Pelajar harus digalakkan untuk meningkatkan aktiviti kokurikulum, seperti keusahawanan dan inovasi. Umpamanya, para siswazah yang berjaya mencipta produk baru harus diberi nasihat mengenai cara melindungi hak cipta mereka serta berunding dengan pihak swasta dengan bantuan pensyarah atau pakar undang-undang.

Beliau memberi jaminan bahawa kakitangan akademik dan siswazah adalah bebas dalam kapasiti masing-masing menurut kuasa autonomi yang diberi kepada beberapa universiti baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan mereka harus bersedia memikul tanggung jawab apabila menguna kebebasan itu.