UKM Dipelawa Buka Kampus Cawangan di Indonesia

ISNIN, 25 JUN 2012 17:13

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 25 Jun 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dipelawa membuka kampus cawangannya di Tangerang, Banten dekat Jakarta, Indonesia.

Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Kabupaten Tangerang, Ir. H. Amran Arifin yang membuat pelawaan itu menyatakan kesediaaannya untuk memperuntukkan kawasan kepada UKM untuk kampus cawangannya itu.

Beliau menyatakan hasratnya itu kepada Portal Berita UKM selepas lawatannya ke UKM Jumaat lalu. Beliau juga telah mengunjungi Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan membincangkan hal-hal umum mengenai hubungan Malaysia dan Indonesia.

Beliau diiringi Prof Dr Erman Anom, seorang pensyarah di Universiti Esa Unggul, Indonesia yang juga seorang Alumni UKM. Prof Erman mula belajar di UKM pada 2001 dan memperolehi ijazah pertama, Sarjana dan juga PhDnya dari UKM.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengarah Pejabat Hal-Ehwal Alumni, Prof Dato’ Laily Din dan Timbalannya yang baru, Dr Chang Peng Kee; Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa, Prof Imran Ho Abdullah dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Prof Dr Mohd Safar Hasim.

H. Amran memberitahu Portal Berita UKM kemudiannya bahawa peluang pengajian tinggi amat menggalakkan di kawasan Tangerang yang sedang mengalami perkembangan ekonomi yang pesat. Misalnya terdapat 6,000 orang guru yang memerlukan pengajian di peringkat sarjana.

Beliau berjanji pentadbiran daerah itu, yang terletak 15 kilometer dari Jakarta, akan memperuntukkan kawasan untuk UKM jika ada persetujuan rasmi.

H. Amran juga mengesyorkan UKM menubuhkan pusat pengajian untuk pelajar separuh masa berkonsepkan universiti terbuka dan bersedia untuk mewujudkan kerjasama dengan UKM dalam bidang pendidikan dan perubatan kerana UKM amat terkenal dalam bidang itu terutama perubatan hingga mampu melaksanakan pembedahan yang rumit.

UKM, katanya, tidak perlu membuat permohonan melalui pemerintah pusat di Jakarta kerana setiap daerah mempunyai autonomi dalam pelbagai bidang, termasuk pelaburan dan pendidikan.

Daerah Tangerang dengan keluasan kira-kira 9,163 km persegi, kini menjadi tumpuan pusat pendidikan negara lain seperti Jerman dan Cina.

Walaupun daerah yang mempunyai 3 juta penduduk itu sudah mempunyai 11 buah universiti, permintaan dari seluruh Indonesia untuk memasuki universiti jauh mengatasi tempat yang ada. Justeru itu memang wujud peluang untuk institusi luar negara bertapak di sana, tambah beliau.

H. Amran berkata Kabupaten Tangerang merupakan pusat industri ulung di Indonesia dan peluang pelaburan adalah baik dengan lebih 5,000 perniagaan berdaftar di situ.

Ia maju dalam pelbagai bidang, antaranya perkhidmatan kesihatan, perhotelan dan industri automotif, termasuk kilang Proton.

Perbincangan lanjut mengenai kerjasama dua pihak itu akan di teruskan. Beliau juga berkata bahawa langkah sedang diambil untuk menubuhkan sebuah badan alumni UKM di Tangerang dan sekitarnya.

H. Amran juga menyatakan kesediaannya untuk mewujudkan kerjasama dengan UKM dalam bidang pendidikan dan perubatan kerana UKM amat terkenal dalam bidang itu terutama perubatan hingga mampu melaksanakan pembedahan yang rumit.

Prof Erman yang mempunyai seorang anaknya belajar di UKM kini dalam tahun kedua di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan menasihati H. Amran mendaftarkan anaknya sebagai siswazah di UKM kerana kualiti pengajiannya yang tinggi.

Selain dari taraf pengajian, kelebihan belajar di UKM boleh memberikan motivasi yang lebih serta berpandangan lebih luas di Malaysia.

Kos yuran dan sara hidup di UKM juga berpatutan jika dibanding dengan Indonesia, iaitu satu pertiga, kata Prof Erman yang turut menasihati pelajar Indonesia lain di UKM supaya meneruskan pengajian mereka hingga ke peringkat setinggi yang mereka mampu di Malaysia.