Wanita Mampu Menyandang Jawatan Tertinggi: Naib Canselor UKM

ISNIN, 18 JUN 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR 15 Jun 2012 – Walau pun masih terdapat diskriminasi terhadap wanita di peringkat pengurusan tertinggi di Malaysia, kaum wanita sendiri juga cenderung untuk menolak tawaran menyandang tampuk kepimpinan tertinggi itu.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata “siling kaca” menahan promosi wanita masih wujud tetapi wanita profesional itu sendiri perlu mengatasi perasaan bersalah atau keraguan bersedia memikul tanggungjawab yang lebih mencabar dalam kerjaya mereka.

Beliau memberikan pandangannya itu di forum Bagaimana Menentukan 30% Wanita Saintis, Jurutera dan Teknologi berada di Pengurusan Tertinggi & Lembaga Pengarah di sini hari ini.

Forum itu adalah sebahagian daripada persidangan dua hari bertajuk Wanita dalam bidang Sains, Kejuruteraan dan Teknologi Antarabangsa, (WISET 2012) yang dianjurkan oleh Institut Kejuruteraan  Malaysia (IEM).

Prof Sharifah Hapsah berkata berdasarkan pengalamannya beliau mendapati ada wanita mengubah pendirian pada saat-saat terakhir apabila mereka di ambang dilantik ke peringkat pengurusan tertinggi kerana khuatir rumah tangga akan terjejas, khasnya kebajikan anak-anak.

Sebagai ketua akademik dan penyelidikan, beliau sendiri menyedari terdapat beberapa orang saintis dan ahli teknologi wanita yang menolak kenaikan pangkat dalam fakulti atau pusat penyelidikan walaupun beliau telah mencalonkan mereka.

Mereka berpuas hati untuk berkhidmat sebagai pensyarah dan penyelidik bekerja mengikut waktu tetap. Beliau khuatir peluang yang diberikan itu akan lupus kemudian kelak apabila mereka sudah bersedia menyandangnya.

Beliau berkata kiranya wanita sendiri tidak bersedia merebut peluang menduduki jawatan yang lebih mencabar, ia akan menguatkan gambaran stereotaip kononnya kaum hawa tidak sesuai untuk jawatan tertinggi termasuk menganggotai  lembaga pengarah.

Beliau bimbang keraguan itu akan dieksploitasi oleh mereka yang sememangnya prejudis terhadap wanita dalam bidang pengurusan kerana pelbagai sebab.

Apabila ini berlaku, ia mungkin menguatkan lagi persepsi bahawa wanita tidak boleh dipertimbangkan untuk berperanan memimpin sesebuah syarikat korporat.

Prof Sharifah Hapsah berkata harus wujud keseimbangan antara keperluan keluarga dan kerjaya dan wanita sendiri perlu bersikap lebih fleksibel mengenainya.

Malaysia, katanya, mempunyai ramai wanita profesional dalam bidang sains yang mampu menjadi pengurus yang cemerlang.

Beliau menyokong usaha untuk mencapai matlamat sekurang-kurangnya 30% jawatan tertinggi di isi oleh kaum wanita. Namun demikian, matlamat itu akan hanya boleh di capai dalam negara kiranya terdapat sokongan tidak berbelah-bagi dari syarikat-syarikat kaitan kerajaan (GLC).

Kini terdapat hanya 20% jawatan pengurusan tertinggi dalam negara di penuhi oleh wanita.

Beliau menasihati wanita yang berkebolehan supaya mengimbangkan tugas sebagai ibu dengan kerjaya mereka. Ini memerlukan suami yang turut komited kepada kerjaya isteri dan sanggup menyumbang tenaga dalam hal-hal kekeluargaan.

Pihak majikan pula harus menyediakan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja.

Sungguh pun majikan di negara ini sudah mula sedarkan keperluan ibu yang bekerja, ia masih ketinggalan berbanding Amerika Syarikat dan negara-negara Scandinavia.

Prof Sharifah Hapsah berkata ramai wanita menjadi menyerlah apabila mendapat pengalaman dalam dan di luar negara. Pendapat beliau demikian itu dicerminkan oleh penceramah lain di forum itu.

Yang Di Pertua Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM), Vincent Chen berkata kini terdapat 45% daripada penuntut dalam kursus-kursus  teknikal, kejuruteraan, pengilang dan pembinaan terdiri dari kaum wanita.

Laporan IEM menyatakan bahawa 15,000 daripada 71,000 jurutera kini adalah wanita, suatu perkembagan membanggakan bila di fikirkan bahawa pada tahun 1969 tidak terdapat seorang pun jurutera wanita manakala menjelang 2011, 15% daripada mereka adalah wanita.