Nilai Murni Perlu Dipupuk Untuk Menentukan Kejayaan Negara, Dr Mahathir

KHAMIS, 29 MAC 2012 00:00 ADMINISTRATOR

tunmahathir1

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ahmad Shahiddan Saidi

BANGI, 29 Mac 2012 – Nilai-nilai murni harus dipupuk dikalangan rakyat untuk mewujudkan individu yang sanggup mendukung tanggung jawab mereka kepada negara dengan mengatasi kemahuan pribadi.

Ini adalah kerana kejayaan sesebuah negara amat bergantung kepada rakyatnya yang berpegang teguh kepada nilai seperti jujur, beramanah, bertanggung jawab dan sanggup bekerja keras. Nilai-nilai ini perlu didukung dan disanjungi rakyat kiranya negara mahu berjaya.

Demikian dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan dengan pelajar-pelajar PermaPintar di kampus UKM di sini hari ini.

Beliau telah mengambil bahagian dalam satu sesi soal jawab dengan suatu panel pelajar itu terdiri dari Tan Zhi You, Tengku Nor Azira Tengku Mohd Salem, Menusha Arumugam and Nur Syazana Natasha Hashim.

Sesi itu adalah untuk memberi peluang kepada pelajar pintar itu, ia itu antara pelajar terpintar dalam negara berinteraksi dengan seorang tokoh berwibawa negara ini.

Beliau berkata nilai-nilai murni demikian masih belum disemai secara mendalam di mana tumpuan khusus kepada pembangunan peribadi masih belum mencukupi. Ini yang menyebabkan ilmu dan kuasa disalah gunakan untuk kepentingan peribadi.

Dr Mahathir berkata usaha untuk mencapai kejayaan adalah tidak begitu sukar asalkan rakyat sanggup mengamal dan berpegang kuat kepada nilai-nilai murni demikian.

Beliau memberi contoh negara Jepun selepas kalah dalam peperangan. Rakyatnya pada masa itu sanggup bekerja keras untuk membangun negara walaupun hanya di bayar dengan semangkuk nasi. Sikap kerja kuat ini yang membolehkannya berjaya membangunkan negara hingga mencapai kejayaan ekonomi pesat mengatasi kuasa barat.

Beliau berkata ilmu mampu memberi kuasa dan kuasa adalah suatu amanah yang harus didukung. Malangnya ada orang yang menyalah gunakan kuasa kerana kepentingan diri sendiri.  Ini menyebabkan mereka akhirnya telah menemui kegagalan kerana tidak berpegang kepada nilai-nilai murni.

Jika kita mampu mengamalkan nilai murni hari ini kita boleh mengecapi kejayaan di hari esok, tambah beliau.

Turut hadir dalam sesi pertemuan dengan semua pelajar pintar itu adalah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Datuk Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin; Pengarah PermataPintar, Prof Dr Noriah Ishak dan pegawai-pegawai kanan universiti.