Sistem Penjimatan Kegunaan Tenaga Disediakan Siswa UKM

ISNIN, 26 MAC 2012 17:35

tenaga 1

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhsan FKAB

BANGI, 26 Mac 2012- Sekumpulan empat orang siswa UKM telah mewujudkan suatu sistem yang boleh menjimatkan penggunaan elektrik sehingga 30 peratus bagi mana-mana bangunan komersial.

Sistem itu telah menyertai kejohanan Schneider Electric ketiga bertema “Go Green Malaysia” bulan lalu untuk universiti-universiti dalam negara dan berjaya mendapat tempat ketiga dengan menerima hadiah wang tunai RM5000 dan sebuah piala.

Pelajar itu terdiri dari Yap Wei Yee, Teh Chin San, Ng Lock Khai dan Kang Cheng Wei dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) telah mewujudkan suatu sistem yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga di bangunan komersial sehingga 30 peratus.

Pertandingan itu bertujuan menggalakkan pelajar kejuruteraan dari universiti-universiti di Malaysia menghasilkan penyelesaian yang kreatif dan inovatif untuk dapat menggunakan tenaga secara cekap.

Schneider Electric ialah sebuah syarikat global yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan eletrik dengan menyediakan sistem kawalan tenaga untuk menjimatkan kegunaannya.

Penggunaan sistem yang diberi nama Naturalistic dapat memastikan bangunan beroperasi pada tahap optimum dalam penggunaan tenaga dilengkapi sistem kawalan penggunaan eletrik yang dapat menentukan alat-alat elektrik akan hanya menggunakan tenaga elektrik apabila perlu sahaja.

Penasihat dan pensyarah mereka Prof Madya Dr Mohammad A Hannan berkata mereka telah buktikan yang sistem itu mampu menurunkan penggunaan tenaga, kesan peninggalan karbon dan Kadar Indeks Tenaga Bangunan (BEI) sebanyak 30%.

“Kami percaya Malaysia boleh lebih mesra alam dengan mengurangkan penggunaan letrik. Kini masih terdapat banyak bangunan yang menggunakan letrik secara membazir tanpa mengambil kira kaedah menggunakan tenaga hanya apabila diperlukan sahaja,” kata Prof Madya Mahammad.

Dengan menggunakan alat pengesan seperti pengesan pergerakan, kelembapan, kadar cahaya dan suhu, alat-alat elektrik dapat di kawal dengan lebih baik. Pengesan pergerakan akan memasang lampu hanya apabila seseorang sedang mampir sesuatu koridor.

Apabila lampu di pasang, sistem itu juga mampu menyesuaikan kadar terang atau malap dengan mengukur cahaya yang sedia ada. Dengan itu tenaga hanya digunakan mengikut tahap yang diperlukan sahaja.

Sistem itu juga menggunakan udara sejuk dini hari untuk mengurangkan suhu dalam bangunan supaya berada pada tahap yang rendah.