UKM Dan Pertubuhan Pengguna Antarabangsa Bersetuju Adakan Program Bersama

pengguna 1

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ahmad Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Mac 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pertubuhan Pengguna Antarabangsa (Consumers International – CI) bersetuju untuk menganjurkan berbagai program bersama termasuk penyelidikan dan berbagai kegiatan akademik untuk kepentingan pengguna.

Kerjasama itu telah dimeteraikan dalam satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditanda tangani di Bilik Majlis Canselori sempena lawatan dan ceramah umum oleh Pengarah Umum CI, Helen McCallum ke sini di sini hari ini.

Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill, Timbalan Naib Canselor (Industri dan Jaringan Komuniti) mewakili UKM dengan Dekan Fakulti Undang-undang, Prof Dr Aishah Bidin sebagai saksi manakala CI diwakili Helen dan Dato’ Indrani Thuraisingham, Ketua CI untuk rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah.

Program kerjasama itu selain dari mengadakan program akademik juga merangkumi pertukaran warga akademik dan pelajar untuk penempatan latihan, penggunaan kemudahan serta menaja bersama persidangan dan seminar, penerbitan buku dan jurnal.

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis itu, Prof Dr Saran berkata ia adalah suatu usaha jelas ke arah mempromosi kepenggunaan dan beliau yakin wadah diwujudkan akan meningkatkan lagi pertukaran idea di antara kedua-dua institusi itu.

Beliau berkata usaha bersama Fakulti Undang-undang, Projek Penyelidikan Arus Perdana UKM diketuai oleh Prof Madya Dr Sakina Shaik Ahmad Yusoff dan CI itu patut disanjung.

Consumers  International adalah sebuah persekutuan kumpulan pengguna sedunia dengan 220 pertubuhan sebagai ahli di 115 negara.