UKM NTU Teraju Kerjasama Bagi Industri ICT

MOU NTU 1
Oleh Nastura Nasir
Gambar oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 22 Mac 2012 – Institut Visual Informatik (IVI) UKM telah menjalinkan kerjasama antarabangsa pertamanya dengan Universiti Kebangsaan Taipei (National Taipei University), Taiwan untuk menerokai kerjasama dalam industry ICT.

Suatu memorandam kefahaman telah ditanda tangani di sini hari ini bagi membolehkan penempatan dan penyelidikan oleh pelajar sarjana UKM ke NTU. Ini adalah kerjasama sulung bagi kedua buah universiti itu.

MOU itu telah ditandatangani oleh Pengarah Institut Visual Informatik (IVI), Prof Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman bagi pihak UKM manakala NTU diwakili Dekan Kolej Kejuruteraan Elektrik dan Sains Komputernya, Prof. Victor R.L. Shen.

NTU menawarkan enam biasiswa kepada pelajar UKM untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang sains komputer, kejuruteraan dan perancangan bandar di NTU.

Prof Halimah dalam ucapannya berkata, selaras dengan perkembangan ekonomi pengetahuan (K-economy), jalinan kerjasama antara pusat penyelidikan seperti IVI, pusat kecemerlangan dan universiti adalah sangat diperlukan dalam menyelesaikan banyak masalah dunia digital berkaitan dengan sains komputer dan ICT demi kesejahteraan hidup.

Beliau yakin kerjasama itu bukan sahaja dapat memberi faedah kepada pelajar bahkan juga kepada hubungan baik antara Malaysia dan Taiwan.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa, Prof Dr Imran Ho, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Dr Hazita Azman.