UKM Tubuhkan Akademi Keselamatan Siber Bersama CyberSecurity Malaysia

cyber 1
Foto ikhsan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat

BANGI, 22 Mac 2012 – UKM akan menubuhkan sebuah Akademi Keselamatan Siber dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia untuk menyediakan program professional bagi melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang itu.

Ia adalah bagi memenuhi permintaan industri itu baik di peringkat domestik mahu pun global selain melahirkan inovasi dan penyelidikan mengenainya untuk kebaikan masyarakat sejagat.

Pengurus Kanan, Pemindahan Teknologi, Pusat Inovasi Kolaboratif UKM, Encik Muhamad Nasir Raki berkata UKM-CSM Global Cyber Security Academy itu dijangka dapat menawarkan pelbagai program professional keselamatan siber mulai Jun ini dan dijadual akan berfungsi sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

En Nasir yang menganggotai Jawatankuasa Bersama UKM-CSM mengenai penubuhan akademi itu berkata ia akan menjadikan UKM sebuah institusi pengajian tinggi yang versatile dan diharap dapat melonjakkan lagi reputasinya dipersada dunia.

Suatu bengkel penubuhan akademi itu telah dilangsungkan di Seremban Jumaat lalu dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FTSM).

Ia bertujuan merumus rancangan strategik bagi perlaksanaannya serta membangunkan kurikulum akademik dan latihan professional dalam bidang itu.

Bengkel tiga hari itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Cancelor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dr Osman A. Karim bagi pihak Naib Canselor, Tan Sri Datuk Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin.

Ia dihadiri dekan FTSM, Prof Dr Abdullah Mohd Zain serta 15 orang ahli fakulti dan 16 wakil dari CyberSecurity Malaysia (CSM) termasuk Ketua Bahagian Inovasi dan Pengomersialannya, Encik Anwer Yusoff. CyberSecurity Malaysia (CSM) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Prof Osman berkata kecanggihan teknologi maklumat masa kini telah menimbulkan berbagai gejala yang amat sukar dikawal. “Diri kita, keluarga, masyarakat, organisasi hatta keselamatan negara sentiasa terdedah kepada bahaya dari pelbagai sudut melalui jenayah siber.

“Justeru, kita tidak boleh leka dan harus bersiap-siaga untuk mempertahankan diri dari ancaman siber. Di antara perisapan yang kita perlu ada ialah sebuah sistem penyelamat data dan maklumat yang berkesan sekiranya berlaku sebarang kerosakan besar pada Sistem Pangkalan Data akibat ancaman atau pencerobohan mahu pun kerosakan sistem akibat bencana alam,” tambah beliau.

En Nasir memberitahu Portal Berita UKM hari ini bahawa penyediaan modal insan profesional tempatan dalam bidang keselamatan maklumat dan siber amat penting bagi memastikan negara bersedia menghadapi sebarang risiko ancaman jenayah melalui alam siber.

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mengubah landskap kehidupan manusia dan menjadikan dunia ini tanpa sempadan. Ledakan maklumat yang boleh dicapai dengan hanya satu klik dihujung jari banyak mempengaruhi cara kehidupan dan ekosistem rantaian nilai manusia pada hari ini.

Di sebalik pelbagai manfaat, ia juga boleh memberi impak negatif dari beberapa sudut dan boleh menimbulkan gejala sosial dan keruntuhan moral di kalangan masyarakat jika kemudahan ini disalah gunakan dan tidak dikawal selia.

Kecanggihan infrastruktur dan teknologi yang kita gunakan bagi menyampaikan maklumat juga boleh mewujudkan ruang dan peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menyampaikan hasrat dan niat tidak baik melalui teknologi maklumat dan komunikasi, kata En Nasir.

Selain gejala sosial, alam siber juga boleh membawa kepada keruntuhan sesebuah kerajaan. Beliau merujuk kepada keadaan politik yang tidak stabil hingga membawa kepada tumbangnya pemerintahan beberapa negara Arab seperti Tunisia, Libya, Mesir dan Yemen kerana wujudnya desakan melalui alam siber.

Di antara penyebab utama yang dikenalpasti adalah penglibatan pihak ketiga yang mempunyai agenda tersembunyi bergerak atas nama NGO dan berselindung di sebalik slogan demokrasi dan hak asasi manusia, kata En Nasir.

Agenda mereka disemarakkan dengan penggunaan ICT seperti Internet, Blog, Facebook dan Youtube untuk menyebarkan dakyah, fitnah, spekulasi dan berita palsu yang telah menyalakan api sentimen di kalangan rakyat.

Sentimen dan ketidak setabilan yang dicipta itu mampu membiak secara viral dengan amat pantas lalu menggugat keharmonian sehingga menyebabkan rusuhan dan perang saudara, tambah beliau.