Kereta Prototype Menggunakan Sel Fuel Untuk Proton Julai Ini

SELASA, 08 MEI 2012 08:59

Teks dan foto oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI 3 Mei 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM akan menghasilkan kereta prototaip yang dijana oleh kuasa sel fuel untuk syarikat pembuat kereta nasional Proton menjelang Julai ini.

Institut Sel Fuel, yang ditubuhkan oleh UKM untuk menjalankan kajian penggunaannya kini sedang menyediakan komponen untuk kereta itu yang menyerupai “golf buggy” atau kenderaan kecil yang boleh membawa dua orang.

Pengarahnya, Prof Ir Dr Wan Ramli Wan Daud memberitahu Portal Berita UKM bahawa kiranya Proton minat dengan rekaan itu, Institut Sel Fuel akan menghasilkan pula kereta salon berkuasakan sel fuel yang sama kuasa dengan kenderaan berenjin 1.3 liter menjelang tahun 2014.

Prof Wan Ramli berkata enjin sel fuel lebih menjimatkan kerana ia bertindak sebagai peranti elektrokimia yang mampu menukarkan tenaga kepada elektrik serta haba tanpa melibatkan pembakaran.

Pada dasarnya, sel fuel bertindak sama seperti bateri kecuali ia tidak kehabisan ataupun perlu dicas semula. Faktor utama bahan dalam sel fuel ialah gas hidrogen, yang akan bertindak dalam campuran bahan kimia dan pemangkin.

Ia juga lebih mesra alam kerana hasil buangan sel fuel ialah air biasa, bukan gas beracun seperti karbon monoksida dan sulfur dwioksida.

Prof Wan Ramli dan penyelidik di Institut Sel Fuel sedang menghalusi dan mengemaskini enjin yang akan diguna untuk kereta prototaip Proton.

Semua bahan dan kimia sudah ada, tetapi institut itu sedang menunggu peralatan kenderaan dari beberapa pembekal tempatan.

Selepas kereta itu di pasang, ia akan dikemukakan kepada pengurusan Proton dalam masa dua bulan.

Prof Wan Ramli menyifatkan enjin sel fuel sebagai suatu langkah yang sewajarnya dan lebih sesuai daripada enjin berkuasa elektrik.

Proton dijangka mengeluarkan kereta elektrik untuk pemasaran pada tahun 2013, selepas ujian dijalankan oleh jabatan Perdana Menteri terhadap tiga model Proton Saga Kenderaan Elektrik atau EV dan Exora REEV.

Penyokong sel fuel berpendapat teknologi itu mempunyai kelebihan berbanding elektrik dari segi kepantasan menjana semula enjin. Kerana selagi ada sumber hidrogen untuk disuntik dalam sel fuel, enjin boleh diguna dalam beberapa minit sahaja selepas gas itu dibekalkan.

Ini berbanding dengan bateri kereta elektrik yang perlu dicas selama beberapa jam. Ini bermakna seorang pengguna yang kembali ke rumah selepas bekerja hanya boleh memandu keretanya pada keesokan harinya selepas bateri telah selesai dicas berterusan kerana waktu ia dicas, kereta tidak boleh dipandu.

Beliau berkata sel fuel juga lebih praktikal berbanding tenaga suria kerana ia tidak perlu memuatkan panel atau kepingan solar yang besar dan berat kepada mana-mana kenderaan atau alat.

Institute Sel Fuel telah menghasilkan prototaip motosikal kecil yang dicadangkan kepada syarikat motosikal negara, Modenas, untuk dikeluarkan secara besar-besaran..