Kerjasama Untuk Percepatkan Pampasan Kes Kemalangan

Oleh Shahfizal Musa
Foto Norashikin Yusof

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2012 – Doktor, pengamal undang-undang, polis dan wakil syarikat insurans telah berbincang di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras hari ini untuk mencari jalan mengurangkan masa pesakit boleh menerima pampasan dalam kes kemalangan dan kecuaian.

Suatu seminar Medico Legal yang melibatkan semua pihak berkepentingan dalam sesuatu kes perubatan yang  menjadi isu perundangan berlangsung di sini untuk membantu mereka memahami peranan masing-masing dalam sesuatu kes demikian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Saran Kaur Gill ketika merasmikan seminar itu berkata semua pihak bersangkutan perlu memperkukuhkan kerjasama demi kebaikan pesakit dan masyarakat. Seminar itu dianjurkan Jabatan Maklumat Perubatan PPUKM

Kerjasama demikian diharapkan boleh memberi manfaat kepada pesakit dengan mengurangkan masa untuk mereka mendapat pampasan yang mereka berhak menerima.

“Akibat kemalangan yang bukan disebabkan kecuaian mereka sendiri, seorang pesakit hanya mahukan pampasan yang adil, tanpa menghadapi berbagai kerenah birokrasi,” kata beliau.

Salah satu senario adalah apabila pesakit terpaksa menunggu bertahun untuk mendapat pampasan yang mereka layak terima, kerana ramai pihak yang terlibat. Tetapi tempoh ini boleh dikurangkan sekiranya setiap pihak terlibat tahu apa yang mereka perlu lakukan.

Sebelum mengarahkan pampasan dibayar Mahkamah berkehendakan nasihat pakar untuk memahami laporan perubatan dan mereka yang memberi nasihat pakar boleh percepatkan proses bayaran sekiranya mereka tahu apa yang diperlukan.

Sekiranya laporan perubatan diterima lewat, ini akan memanjangkan lagi masa. Sekiranya mereka yang memberi nasihat pakar gagal memberi nasihat yang adil dan betul, ini juga akan memberi kesan kepada penyelesaian kes.  Di samping itu semua pihak yang terlibat mempunyai keperluan dan kepentingan yang harus dipenuhi.

“Anggota polis yang menyiasat tuntutan, peguam, pengurus tuntutan pampasan di syarikat insuran dan doktor perlu benar-benar menghargai kesusahan dan tekanan yang mereka semua hadapi,” kata prof Saran.

Seminar itu menarik seramai kira-kira 400 orang peserta dari seluruh negara yang berminat untuk mengetahui bagaimana sistem perundangan berfungsi apabila melibatkan isu perkhidmatan perubatan.

Antara topik yang dibincangkan termasuk persetujuan dan maklumat sulit, laporan perubatan, tugas polis dan tuntutan perubatan.

Turut hadir di seminar adalah Timbalan Dekan (Perkhidmatan Klinikal), Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Jaafar Md Zain; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato Sri Khalid Abu Bakar dan Pengerusi Jawatan Kuasa Penganjur, Prof Madya Dr Saperi Sulong.