Peluang Pekerjaan Sektor Sewasta Di Expo Kerjaya UKM

ISNIN, 21 MEI 2012 17:21

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 18 Mei 2012 – Lepasan sekolah atau graduan universiti harus boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik kiranya mereka mahu menyertai sektor swasta, demikian pandangan beberapa majikan dan penganjur Expo Karier UKM 2012 yang sedang berlangsung di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Expo kerjaya itu yang berakhir esok diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) sempena sambutan ulang tahun ke 42 penubuhan UKM hari ini. Ia dianjurkan oleh Kolej Ibn Zain dan Pejabat Hubungan Industri UKM.

Pengerusi penganjur Expo itu, Jonathan Liew, pelajar tahun akhir biokimia UKM dan wakil beberapa syarikat yang mengambil bahagian sependapat bahawa penguasaan bahasa Inggeris penting untuk mereka yang mahu menyertai sektor swasta.

Sejumlah 42 buah syarikat mengambil bahagian termasuk beberapa syarikat terkemuka seperti Telekom Malaysia, UDA Holdings, Maybank, CIMB, Tabung Haji dan Berita Harian.

Serentak pameran beberapa bengkel dan ceramah diadakan untuk memberi penerangan mengenai selok-belok menyediakan diri apabila hendak mencari pekerjaan. Ia juga bertujuan menerangkan kepada golongan remaja, kualiti pekerja yang kehendaki swasta khususnya syarikat-syarikat terkemuka.

Expo itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat, Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill yang berpendapat bahawa jaringan bersama dengan sektor swasta penting untuk menghasilkan graduan yang dapat memenuhi kehendak mereka.

Beliau bangga bahawa lebih 90% daripada graduan UKM telah berjaya diserapkan oleh majikan pelbagai industri atau pun menjalankan usaha sendiri.

Turut hadir di perasmian expo ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ir Dr Othman A Karim dan Pengetua Kolej Ibu Zain, Anuar Ahmad.

Liew berpendapat kekurangan kefasihan bahasa Inggeris menjadi halangan yang perlu di atasi oleh remaja yang mahu bekerja dengan pihak swasta.

Penolong Pengurus Besar UDA Holdings, Nik Norzlan Thani berkata syarikat hartanah itu memerlukan calon-calon yang mempunyai kepintaran halus (soft skills ) seperti penguasaan bahasa inggeris dan berbudi bahasa untuk dididik menjadi pemimpin.

Nik Norzlan berkata banyak perkara teknikal dan spesifikasi dalam perniagaan mengurus hartanah masih dilakukan dalam bahasa inggeris. Selain itu UDA juga mahukan pekerja yang boleh memimpin secara teladan.

Seorang pegawai bank tempatan terkemuka berkata selain dari penguasaan bahasa inggeris seorang kakitangan bank juga perlu boleh beramah mesra dengan pelanggan.

Expo ini terbuka kepada pelajar UKM dan murid sekolah berhampiran yang diundang khas untuk menghadirinya.

Lebih seratus pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Serdang turut mendapat faedah daripada pameran itu yang juga menampilkan pakar-pakar yang memberi taklimat mengenai selok-belok memohon kerja.