Pertukaran Idea Global 2012: Delegasi Mahasiswa FSSK Ke Australia

AHAD, 13 MEI 2012 00:00

Oleh Nor Hazirah Kan Hussin Kan, Pelajar Prasiswazah FSSK
Foto Persatuan Mahasiswa, FSSK

BANGI, 11 Mei 2012 – Enam orang mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan berlepas ke Melbourne Australia isnin ini untuk lawatan ilmiah ke dua buah universiti di situ.

Inilah julung kalinya lawatan ilmiah demikian diadakan atas inisiatif Persatuan Mahasiswa FSSK dengan kerjasama Fakulti, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED) dan Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel).

Lawatan enam hari ke University of Melbourne dan RMIT (Royal Melbourne Institute of Technology) itu diadakan di bawah program Pertukaran Idea Global 2012: Kesukarelawanan Pelajar di atas tema “Keusahawanan Sosial Ke Arah Pembangunan Komuniti Mapan”.

Delegasi diketuai pelajar tahun akhir program Hubungan Antarabangsa, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi (PPSPS), Nor Hazirah Kan Hussin Kan. Peserta lain terdiri dari Elizabeth Kay Nyigor (tahun akhir – Hubungan Antarabangsa, PPSPS) serta empat mahasiswa tahun kedua, Kevin Sivaraj (program Sains Politik, PPSPS); Nur Hazlin Abd Ghani, (program Pengajian Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu); Nurizzati Alias, (program Geografi, Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran) dan Ahmad Firdaos Syauqi (program Pengajian Sastera dalam Bahasa Inggeris, Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik).

Mereka akan mendalami soal kepentingan dan kesinambungan di antara kesukarelawanan dan keusahawanan sosial di kalangan belia khususnya mahasiswa dalam usaha memupuk kesedaran dan menabur bakti kepada pembangunan masyarakat.

Mereka akan mengadakan beberapa sesi dialog dengan wakil mahasiswa termasuk pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sana serta meninjau tahap pendedahan dan kesedaran mahasiswa Australia terhadap kesukarelawanan.

Mereka juga akan melawati beberapa organisasi yang menguruskan aktiviti kesukarelawanan dan kepimpinan seperti Leadership, Involvement & Volunteer Experience (LIVE) di University of Melbourne dan Student Leadership Development Program (LEAD) di RMIT serta School of Social Entrepreneurs (SSE).

Mereka berharap dapat memberi gambaran jelas mengenai keberkesanan pengurusan hal-ehwal kesukarelawanan di kalangan mahasiswa.

Program itu difikirkan boleh memberi impak jangka panjang hasil penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan yang akan dititik beratkan kerana manfaatnya bukan sahaja untuk membantu masyarakat setempat yang hidup dalam kesusahan, tetapi sebagai satu pembelajaran sepanjang hayat yang mampu memantapkan kebolehan graduan UKM untuk pasaran.

Keusahawanan sosial kini dilihat sebagai satu usaha yang boleh diceburi mahasiswa untuk menyumbang kepada ekonomi negara dan masyarakat setempat melalui peluang pekerjaan dan latihan kemahiran.

Hasil daripada aktiviti keusahawanan ini akan dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan masyarakat mapan, di samping mengurangkan penyakit sosial seperti kemiskinan dan jenayah dalam masyarakat.

Lawatan ilmiah ini juga dilihat sebagai satu batu loncatan dalam merealisasikan aktiviti kesukarelawanan menerusi keusahawanan sosial di kalangan mahasiswa UKM.

Student-Led People-In-Need Enterprise (SPiNE) yang diasaskan oleh delegasi ke Australia ini merupakan projek tulang belakang yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

SPiNE adalah satu perusahaan yang berasaskan kemahiran masyarakat yang memerlukan insan yang berpontesi mewujudkan produk atau perkhidmatan yang boleh menjana pendapatan.

Perusahaan ini akan diterajui oleh organisasi mahasiswa yang ditubuhkan khas bagi merancang, melaksana dan menguruskan aktiviti perusahaan yang dilakukan secara mapan.

SPiNE turut bertujuan mengasah bakat dan kemahiran dalam komunikasi dan pemasaran sebagai nilai tambah kepada mahasiswa yang terlibat. Projek tulang belakang ini memerlukan minat dan komitmen yang tinggi, di samping kerelaan untuk belajar dan memperolehi ilmu dan pengalaman.

SPiNE turut menyediakan peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan KPPI (Kontrak Pembelajaran Pembangunan Insaniah).

Fokus SPiNE adalah untuk menyediakan satu platform kepada  mahasiswa FSSK dapat bekerjasama dengan komuniti setempat yang mempunyai potensi dan seni kemahiran tertentu bagi mewujudkan perniagaan yang akan dipimpin oleh mahasiswa sendiri di bawah pemantau fakulti dan UKM-CESMED.

Lawatan ilmiah itu diharapkan dapat menyediakan peluang kepada delegasi untuk mengumpul segala input agar SPiNE dapat terus dilaksanakan dengan sistematik dan efisyen.

Penasihat Projek itu, Prof Madya Dr Hamzah Jusoh telah berjaya memastikan perancangan dan pelaksanaannya berjalan lancar dengan bantuan Penolong Pendaftar FSSK, Abdul Karim Osman.