Program Khidmat Komuniti Inspirasikan Generasi Muda Ledang

Oleh Abdul Razak Hussin
Foto Jabatan Perkhidmatan Pelajar, UKM

TANGKAK, 25 Mei 2012 –Malaysia yang subur dengan tenaga generasi muda mempunyai masa depan yang cerah, mampu bersaing dan meyakinkan berbanding beberapa negara yang sudah mulai ketandusan generasi mudanya disebabkan dasar mengehadkan jumlah anak bagi setiap keluarga.

Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman berkata ditambah dengan segala kemudahan pembelajaran akademik dan kemahiran yang disediakan oleh kerajaan, negara subur dengan generasi berpendidikan dan memiliki kemahiran untuk menjana kemajuan dan pembangunan yang lebih besar dan mampu bersaing.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Khidmat Komuniti Ledang ketiga di sini hari ini. Program itu bermula kelmarin dan berakhir Ahad ini usahakan UKM dan Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan Pusat Khidmat Parlimen Ledang.

Ia dijalankan di Kampung Solok, Sri Jaya dan Bukit Banjar diisi pelbagai aktiviti seperti motivasi pendidikan, mencetus kelahiran saintis muda, gotong royong, tazkirah agama dan sukaneka.

Seramai 60 orang mahasiswa dan mahasisiwi UKM menyertainya dengan mereka tinggal bersama keluarga angkat. Program itu diyakini menjadi pendorong dan inspirasi kepada generasi muda untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dengan melanjutkan pengajian ke universiti.

Beliau berharap lebih ramai lagi ahli masyarakat Ledang akan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kejayaan dalam pendidikan mampu mengubah kedudukan sosial keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru, beliau berkata golongan mahasiswa harus berperanan lebih berkesan dengan sering mengadakan aktiviti yang melibatkan masyarakat khususnya di luar bandar untuk mendorong masyarakat tersebut terutama generasi mudanya meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi masa hadapan yang lebih mencabar.

Dalam ucapan aluannya, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ir Dr Othman A Karim berkata program Khidmat Komuniti itu bukan sahaja bagi memenuhi peranan universiti dalam penglibatan kemasyarakatan tetapi yang lebih utama untuk memberikan pendidikan praktis kepada siswa siswinya terhadap keadaan sebenar dalam masyarakat.

Menerusi penglibatan tersebut, universiti berharap pendidikan yang diberikan adalah yang relevan kerana berasaskan kepada realiti, kehendak dan keperluan masyarakat itu sendiri.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri; Pegawai Daerah Ledang, Haji Abdul Han Ramin, pemimpin tempatan dan pegawai-pegawai kerajaan dan UKM.