Institut Hadhari UKM Akan Hasilkan Siri Dokumentari Islam Dan Sains Dengan Quiara One Production

ISNIN, 19 NOVEMBER 2012 00:00

Oleh Abd Razak Hussin
Foto Ihsan Institut Islam Hadhari

BANGI, 16 Nov 2012 – Institut Islam Hadhari UKM (Hadhari)  akan bekerjasama dengan penerbit filem, Quiara One Production Sdn Bhd (Quiara) menghasilkan suatu siri dokumentari untuk tayangan tv bertujuan mendidik masyarakat terhadap sains daripada perspektif Islam dan Islam daripada perspektif sains.

Sepucuk Surat Hasrat bekerjasama itu telah di tandatangani Pengarah Hadhari, Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Othman dan Puan Siti Norhayza Mohd Ali bagi pihak Quiara di kampus UKM di sini minggu lalu untuk menerbitkan siri 13 episod itu. Ia disaksikan Timbalan Pengarah Hadhari, Prof Dr Jawiah Dakir dan Pengarah Filem Quiara, Encik Nahar Akbar.

Prof Yusof berkata dengan kepakaran pelbagai disiplin yang dimiliki UKM, Hadhari berasa bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai fenomena sains daripada perspektif Islam dan sebaliknya melalui medium yang lebih menarik dan mudah difahami orang ramai, antaranya menerusi filem.

Ia sekali gus menunjukkan hasrat Hadhari memanfaatkan perkembangan teknologi komunikasi maklumat yang lebih dekat dengan masyarakat untuk mendidik orang ramai melalui sumber hiburan dengan mengetengahkan filem dokumentari yang sarat dengan ilmu pengetahuan mengenai fenomena biasa dalam kehidupan.

Quira pula berhasrat menghasilkan filem demikian memandangkan kurangnya pembikinan filem yang mengetengahkan fenomena sains daripada perspektif Islam di negara ini dan memilih UKM sebagai rakan menghasilkan filem itu setelah meneliti pelbagai kepakaran yang terdapat di UKM.

Ia berhasrat memberi kefahaman mengenai hal itu kepada masyarakat menerusi stesen televisyen dalam dan luar negara.

Dalam majlis tersebut, pratonton episod 1 berjudul “Lawn al-Hayah” (“Lukisan Alam”) telah ditayangkan untuk mendapatkan pandangan hadirin bagi menambah baikkan filem itu.

Ia menampilkan Dr Mohd Fadly Abdul Rahim dari Fakulti Sains dan Teknologi dan Dr Wan Nasyarudin Wan Abdullah dari Fakulti Pengajian Islam, UKM yang telah bergabung kepakaran menjelaskan fenomena sains daripada perspektif Islam yang berlatar belakangkan lokasi penggambaran di Tanjung Tuan, Melaka.

Prof. Yusof dan Puan Norhayza berharap, kerjasama demikian antara mereka dapat berterusan khususnya dalam pengeluaran filem dokumentari.