Lima Tahun Bersama Mewujudkan Keakraban Luar Biasa Antara Tiga Siswazah Berlainan Kaum Di UKM

JUMAAT, 02 NOVEMBER 2012 10:13

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Izwan Azman

BANGI, 2 Nov 2012 – Tiga orang pelajar siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berbeda kaum dengan latar belakang juga amat berbeda telah menjalin hubungan sebagai rakan karib telah lulus bersama pula sebagai sarjana di Konvokesyen ke 40 UKM baru-baru ini.

Mereka itu Mohd Faradi bin Mohamed Ghazali, Terry Woo Kit Wan dan Jasminderjit Kuar a/p Shabag Singh mula bertemu ketika mendaftar mendiami Kolej Dato Onn (KDO) lima tahun lalu ketika mula menjejaki kaki ke UKM sebagai mahasiswa.

Mereka masing-masing mengikuti kursus berbeda tetapi dalam tempoh belajar di UKM selama lima tahun mereka telah melibatkan diri dalam berbagai aktiviti KDO bersama hingga menjadi rakan akrab.

Bahkan mereka telah lulus bersama menerima Ijazah Sarjana Muda pada 2010 dan kemudian meneruskan lagi pengajian mereka hingga lulus bersama juga sebagai sarjana di Konvokesyen UKM baru-baru ini.

Mohd Faradi, 26 tahun, mengikuti pengajian bidang Kesusasteraan Melayu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan untuk ijazah Sarjana Muda dan kemudian melanjutkan lagi pengajiannya dalam jurusan sama mendapatkan Ijazah Sarjana.

Terry Woo pula lulus untuk ijazah Sarjana Muda dalam bidang Linguistik juga di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan kemudian melanjutkan pengajiannya untuk Ijazah Sarjananya juga dalam Pengajian Linguistik.

Manakala Jasminderjit, 25, lulus Ijazah Sarjana Mudanya dalam bidang Ekonomi Monetari dan Fiskal dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran dan kemudian meneruskan lagi pengajiannya dalam bidang sama untuk Ijazah Sarjananya.

Semasa bersama selama lima tahun di UKM mereka telah terlibat dalam pelbagai aktiviti kolej secara bersama menimba ilmu dan kemahiran.

“Ia agak pelik, semasa bertemu buat kali pertama kami tidak mengenali antara satu sama lain tetapi selepas banyak melakkukan aktiviti KDO bersama, kami telah menjadi rapat,” kata Faradi.

Terry Woo bersetuju dengan Faradi, “kami tidak terfikir boleh menjadi rakan karib kerana kami bertiga mempunyai peribadi dan kesukaan yang berbeza – tiada apa yang sama antara kami bertiga”.

Beliau mengakui bahawa perbezaan mereka telah menjadi kekuatan mereka.”Saya rasa, perbedaan dalam citarasa kami, itulah yang membawa kepada perkembangan dan kekukuhan persahabatan kami,” kata Terry.

“Kami terdiri dari kaum dan agama berbeda, jadi waktu mula mengenali antara satu sama lain, kami perlu belajar mengenai kepercayaan masing-masing. Sudah tentu terdapat beberapa detik janggal tetapi akhirnya kami dapat mempelajari sesuatu yang baru dan telah lebih memahami dan menghormati perbedaan kami itu,” kata Jasminderjit .

Mengakui bahawa seperti semua persahabatan, ada kalanya ia tidak berjalan lancar. Terdapat pertengkaran dan salah faham. “Tetapi tidak seorang pun daripada kami pernah mempunyai niat buruk dan buruk sangka. Kami menerima bahawa setiap daripada kami ikhlas dan telus dalam persahabatan,” Faradi jelaskan.

Ketiga-tiga mereka telah bergiat dalam banyak aktiviti kolej. Terry dan Jasminderjit, menjadi Jaksa untuk KDO, Terry sebagai Bendahari Jaksa manakala Jasminderjit sebagai Jaksa Integrasi dan Perpaduan Kaum.

Faradi pula menyertai banyak kegiatan seni dan budaya serta aktif dalam program demikian termasuk mewakili kolej dalam acara pertandingan puisi antara Kolej, persembahan tarian, nyanyian dan juga menjadi pengacara.

Jasminderjit berkata bahawa pengalaman mereka dalam KDO membolehkan mereka bukan sahaja mempelajari perkara baru tetapi juga untuk menjadi lebih kuat dan matang.

“Kakitangan dan pengurusan KDO semua telah mempunyai kesan positif dalam kehidupan kami terutama Pengetua Profesor Madya Datin Noor Aziah Hj Mohd Awal.

Ketiga-tiga mereka telah berinteraksi dan bergiat dalam berbagai aktiviti di kolej menemui pelbagai anggota masyarakat. Mereka bersetuju pengalaman mereka dalam KDO telah membantu mereka mengatasi sifat malu, kurang keyakinan dan telah mengilap kemahiran insaniah dan pergaulan mereka.

Sebagai Felo di KDO, mereka juga telah mengambil bahagian dalam banyak aktiviti luar kampus, biasanya program kemasyarakatan dan program sekolah yang membolehkan  mereka berinteraksi dengan masyarakat.

Jasminderjit mengakui ada kalanya sesetengah orang melihat mereka dengan agak ganjil kerana sering keluar bersama. “Kami keluar makan, menonton wayang dan membeli-belah bersama. Bagi kami ia adalah satu yang normal dilakukan oleh kawan-kawan, tetapi memang ramai agak keliru and terkejut melihat kami begitu rapat, ” kata Jasminderjit.

Terry menceritakan suatu ketika semasa mengikuti rombongan kolej ke Pulau Redang, mereka bertiga mengambil gambar sambil bergurau di atas limbungan dan diperhatikan seorang Pak Cik dan lantas dia berkata “baiklah kamu bertiga boleh jadi kawan, susah nak cari tiga kaum yang berbeza serapat macam kamu”.

“Jika kita bertengkar, saya secara automatik merenung kelemahan diri sendiri dan juga rakan-rakan saya. Saya tidak menyesal dan saya gembira dengan hubungan yang kami telah bina dan berasa ia lebih baik jika seluruh Malaysia boleh menjadi seperti kami,” kata Terry.