Pejabat Pembangunan Kelestarian Akan Ditubuhkan Di UKM

ISNIN, 26 NOVEMBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 22 Nov, 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia akan menubuhkan sebuah Pejabat Pembangunan Kelestarian menjelang 2015 atau lebih awal untuk merancang pembangunan di dalam kampusnya di sini bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya bencana alam pada masa hadapan.

Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata penubuhan pejabat itu kini lebih mendesak berikutan beberapa kejadian bencana alam baru-baru ini kerana hujan lebat dan banjir dalam kampus.

Prof Sharifah Hapsah berkata bahawa banyak bangunan dan struktur yang didirikan sebelum ini mungkin tidak sesuai untuk tanah berbukit yang menjadi kampus UKM.

Ketika melancarkan Seminar dan Bengkel Kampus Lestari 2020 di sini hari ini, beliau berkata banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku dalam kampus adalah kerana perancangan awal tidak mengambil kira persekitaran semula jadi.

Beliau merujuk kepada banjir kilat dan keruntuhan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 200 meter di ruang letak kereta bersebelahan Dewan Tun Abdul Razak (Dectar) yang dihempap pokok tumbang waktu hujan lebat.

Kira-kira 25 buah kereta telah rosak dalam kejadian itu. Walau bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Selain itu penghuni beberapa bangunan dalam kampus terpaksa dipindahkan buat sementara waktu apabila banjir telah membawa masuk lumpur ke bangunan-bangunan itu.

Kumpulan Penyelidikan Komuniti Lestari yang menganjurkan seminar dan bengkel dua hari itu mencadangkan UKM menubuhkan Pejabat Kelestarian bagi memantau pembangunan masa depan dalam kampus.

Prof Sharifah Hapsah berkata sudah sampai masanya UKM mengamalkan pembinaan mesra alam untuk mengurangkan kerosakan tanah pada tahap paling rendah.

 

Beliau menyorot kepada keadaan di mana beberapa bukit dalam “Kampus Hijau” UKM tidak begitu hijau lagi kerana hakisan tanah dan kegundulan tumbuh-tumbuhan.

Beliau mengarahkan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) mengemukakan kertas kerja kepada Canselori menjelang akhir tahun supaya beliau boleh cuba mendapatkan persetujuan kerajaan mengenainya.

Terdahulu, Ketua Kumpulan Penyelidikan Komuniti Lestari, Datin Paduka Dr Halimaton Saadiah Hashim mencadangkan pejabat itu ditubuhkan mempunyai lima bahagian yang bertanggung jawab:

  1. Pengurusan Pokok bagi menentukan tumbuhan mana yang patut dipelihara atau ditebang.
  2. Geologi untuk menyesuaikan pelan bangunan setimpal dengan rupa bumi supaya kemusnahan tapak dapat dikurangkan.
  3. Pengurusan Aset bagi penyelenggaraan dan memantau harta seperti bangunan dan binaan lain.
  4. Forensik Bangunan untuk menentukan samaada bangunan menghadapi bahaya kerosakan akibat hakisan tanah dan cuaca.
  5. Kumpulan Penilaian Risiko Bencana untuk memantau bahagian kampus yang menghadapi risiko kerana hujan lebat dan ribut.

Dr Halimaton berkata penubuhan pejabat itu perlu dilakukan secepat mungkin dan tidak menunggu sehingga 2020.

Beliau telah menjalankan kajian beberapa kampus universiti dalam dan luar negara yang mempunyai jabatan yang dikhaskan untuk pemeliharaan alam semula jadi di mana bangunan besar didirikan.

Universiti-universiti itu meneliti segala isu kelestarian untuk setiap pelan pembinaan yang dimajukan supaya alam sekitar mereka boleh dipelihara, kata Dr Halimaton.