Pembangunan Masyarakat Perlu Diberi Perhatian: Kata Timbalan Menteri

ISNIN, 19 NOVEMBER 2012 00:00

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Izwan Azman

BANGI, 14 Nov 2012 – Pembangunan Masyarakat yang kini tidak mendapat perhatian sewajarnya dalam pembangunan negara perlu diberi perhatian semula demi kepentingan masyarakat tempatan dalam pembagunan ekonomi dan sosial negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato Saifuddin Abdullah, berkata pembangunan masyarakat harus diberi perhatian semula ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Pembangunan Rakyat atas tajuk “Meningkatkan Penyertaan Masyarakat Melalui Usaha Pembangunan Sosial” di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) awal bulan.

Seminar dua hari itu dianjurkan oleh Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Tempatan Komanwel (COMMACT) Malaysia dengan kerjasama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) dan Institut Kajian Etnik (KITA) UKM serta Universiti Utara Malaysia (UUM), Kampus Kuala Lumpur.

Beliau berkata COMMACT Malaysia berkait rapat dengan usaha pembangunan masyarakat dan memuji usaha Presidennya, Prof Datuk Mohd Yusof Kasim yang berjaya memulihkan kembali pertubuhan itu.

Dato Saifuddin berkata Malaysia mengamalkan sistem tiga peringkat kerajaan ia itu kerajaan pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dan menyuarakan pandangannya bahawa pilihan raya tempatan mungkin perlu diadakan semula.

Ia adalah bertujuan pembangunan masyarakat akan dapat diberikan tumpuan semula dalam usaha pembangunan negara.

Pembangunan masyarakat layak diberikan penekanan semula dalam usaha membangunkan kemajuan ekonomi dan sosial dan beliau berharap dengan COMMACT Malaysia diaktifkan semula usaha itu akan lebih berkesan.

Beliau berkata usaha perlu diwujudkan semula untuk memberikan ruang kepada masyarakat akar umbi untuk berbincang isu-isu kemasyarakatan mereka.

Sebenarnya mesyuarat penuh majlis tempatan dibuka kepada warga tempatan untuk mendengar perbincangan mengenai hal-hal bersangkutan dengan mereka, malangnya kebanyakan daripada mesyuarat itu tidak terbukan kepada warga tempatan.

Mengimbas kembali waktu beliau menjadi ahli Majlis Tempatan Temerloh, Dato’ Saifuddin berkata pihak berkepentingan tidak terlalu berminat membukakan persidangan majlis kepada orang ramai.

Sebagai jalan keluar setelah dilantik sebagai Timbalan Menteri, beliau telah menubuhkan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh, kawasan Parlimennya, dengan 160 orang ahli untuk memberi ruang kepada masyarakat tempatan meluahkan pandangan dan cadangan untuk kebaikan mereka.

Beliau berkata kehendak dan kemushkilan masyarakat akar umbi perlu difahami untuk mengerakkan pembangunan masyarakat setempat.

Dato Saifuddin berkata bahawa oleh kerana negara telah melalui perubahan, pemimpin juga harus memahami dan menyelami perubahan masyarakat.