Sistem Ekonomi Islam Mampu Menentukan Keadilan Sosial Sejagat

SELASA, 06 NOVEMBER 2012 19:21

Oleh Shahfizal Musa
Foto Md Noor Ramly

BANGI, 5 Nov 2012 – Keusahawanan Islam jika digabungkan dengan ekonomi dan kewangan Islam mampu mencipta suatu sistem ekonomi dunia baru yang boleh membawa kepada keadilan sosial sejagat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Perbankan dan Kewangan Malaysia, Dato’ Dr Adnan Alias berpendapat bahawa tidak mustahil ekonomi Islam menjadi satu sistem ekonomi baru dunia dengan wujudnya krisis ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah sekarang.

Berucap ketika merasmikan Persidangan dua hari Ekonomi dan Kewangan Islam 2012 anjuran bersama Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Ekonomi Islam (EKONIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia di sini hari ini, beliau berkata dalam sistem Islam keadilan sosial mengatasi objektif mencari keuntungan.

Persidangan dua hari itu adalah untuk membincangkan isu dalam perancangan Pengurusan Kekayaan Islam.

Dr Adnan berkata AS dan Eropah kini pun sedang mencari penyelesaian yang lebih stabil bagi masalah ekonomi mereka yang berpandukan sistem konvensional.

Sistem ekonomi baru ini bukanlah suatu yang perlu ditakuti kerana ia berdasarkan prinsip Islam yang diterima sejagat.

Ini kerana tidak seperti sistem keusahawanan konvensional di mana aktitviti filantropi yang memanfaatkan masyarakat cuma dilakukan setelah kekayaan yang banyak dikumpul padahal dalam keusahawanan Islam filantropi wujud semasa bermulanya aktiviti keusahawanan lagi dan berkembang dengan perniagaan.

Bahkan, katanya, sistem yang berasaskan Islam boleh memberi mekanisme yang lebih adil untuk menjalankan perniagaan di mana hutang tidak naik dengan mendadak hingga melampaui pulangan dari pelaburan.

Walau bagaimanapun masih belum terdapat negara yang menerajui bidang Keusahawanan Islam, seperti bidang kewangan dan ekonomi Islam yang menonjol di Malaysia dan Pakistan.

Beliau berkata kerajaan perlu memainkan peranan utama untuk menyemarakkan bidang keusahawanan Islam ini dan barulah ia akan mendapat sambutan sektor swasta.

Walau bagaimanapun sistem ekonomi yang berasaskan Islam tidaklah bebas dari masalah malah telah menjadi pengetahuan umum terdapat negara yang mendakwa mereka mempunyai sistem yang lebih mematuhi syariah dari negara lain.

Dalam bidang kewangan Islam terdapat perbedaan antara negara yang membuat inovasi produk kewangan dan negara di timur tengah yang mempunyai standard untuk mematuhi syariah secara amat ketat.

Ini, kata beliau, adalah kerana perbezaan budaya dan bukannya masalah tafsiran syariah. Walaupun perselisihan pendapat adalah suatu yang biasa tetapi ia tidak sepatutnya membantutkan perkembangan ekonomi Islam.

Persidangan di pengurusikan oleh Dr Suhaili Alma’amun, Setiausaha Ekonis. Turut hadir Prof Dr Hajah Mustafa Mohd Hanefah, Dekan Penyelidikan dan Inovasi USIM dan peserta dari Sudan, Iran, Indonesia, Brunei, Amerika Syarikat dan Malaysia.