Strategi Kelestrian Tenaga Boleh Menjimatkan Perbelanjaan UKM Sehingga RM9 Juta Setahun

ISNIN, 03 DISEMBER 2012 00:00
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 30 Nov, 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) boleh menjimatkan bayaran bil elektriknya sehingga RM9 juta setahun jika ia melaksanakan strategi kelestarian tenaga.

Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Profesor Dr Kamaruzzaman Sopian berkata pasukan penyelidik penjimatan tenaga mendapati Pusat Perubatan UKM (PPUKM) di Cheras Kuala Lumpur dan Bangunan Canselori di Bangi mengguna terlalu banyak tenaga yang sebenarnya boleh dijimatkan dengan beberapa langkah mudah.

Beliau berkata kajian menunjukkan pengurangan 30% bagi Indeks Tenaga Bangunan (BEI) boleh menjimatkan belanja sehingga RM5 juta setahun kiranya strategi kelestarian seperti mengurangkan kesejukan penghawa dingin dan menggunakan tenaga solar di laksanakan.

BEI menunjukkan penggunaan tenaga tertentu oleh bangunan. Ia pada dasarnya adalah nisbah jumlah tenaga yang digunakan kepada jumlah kawasan binaan. Jumlah tenaga yang digunakan termasuk kedua-dua tenaga elektrik yang dibeli serta yang dijana di tapak, tetapi tidak termasuk sumber yang boleh diperbaharui seperti solar photovoltaic dan lain-lain, kata Prof Kamaruzzaman.

Bercakap kepada Portal Berita UKM di persisiran Seminar dan Bengkel Kampus Lestari UKM di Bangi baru-baru ini, beliau berkata penggunaan penebat dan Polyvinyl Chloride (PV) dan pemanas panel tenaga suria boleh menambahkan penjimatan sejumlah RM4 juta lagi setahun.

Prof Kamaruzzaman telah mengetuai satu pasukan enam orang yang menjalankan kajian di kampus utama dan PPUKM mengenai penggunaan tenaga. Beliau berkata pengukuran objektif dan subjektif telah dijalankan untuk menilai keadaan haba dari segi keselesaan manusia.

Ada bukti yang menunjukkan bahawa bangunan Canselori patut menaikkan suhu sehingga 26 darjah celsius, ia itu suhu dalam bangunan yang disyorkan kerajaan. Suhu yang diukur dalam bangunan Canselori adalah lebih rendah. Ini menunjukkan bahawa ia tidak mematuhi piawaian dunia hingga suasana dalam pejabat didapati “sejuk”, katanya.

Model simulasi yang digunakan dalam kajian itu menunjukkan pendapat yang seiras dengan kajian dalam bangunan. Beliau menganggap hasil kajian itu sebagai peluang yang baik bagi UKM untuk mengurangkan penggunaan tenaga melalui tenaga hijau di samping menyediakan kualiti udara dalaman yang lebih baik ke arah kelestarian.

Prof Kamaruzzaman mencadangkan sistem haba suria digunakan di pusat perubatan, suatu kaedah yang lestari berbanding penggunaan tenaga elektrik sahaja. Terdapat ruang terbuka yang cukup di luar hospital untuk memasang panel suria.

Langkah itu sahaja sudah memadai untuk mengurangkan bil pemanasan hospital sebanyak 30 hingga 40 peratus berbanding dengan hanya menggunakan gas asli, yang semakin mahal.

Prof Kamaruzzaman berkata Bangunan Canselori mungkin mempunyai reka bentuk struktur yang menarik tetapi terdapat banyak ruang kosong yang menjadi takungan haba, yang memerlukan penyaman udara dipasang pada kadar tinggi.

Punca pembaziran tenaga yang terbesar, katanya, adalah ruang legar atau pintu masuk utama dewan yang amat luas. Dewan itu disejukkan walaupun hanya segelintir kakitangan atau pelawat yang ada dalamnya.

Malahan, jika ada upacara pun, tidak begitu ramai orang yang hadir pada tempoh yang panjang. Akibatnya ruang legar menjadi terlalu sejuk dan ini adalah suatu pembaziran. Biasanya yang mesti duduk atau berdiri di sana untuk tempoh yang lanjut ialah pengawal dan penyambut tetamu.

Malahan dalam pejabat yang penuh sesak pun boleh mengalami keadaan terlalu sejuk bagi sesetengah orang hinggakan mereka perlu memakai jaket dan selendang tebal.

Matlamat penyaman udara berpusat adalah untuk keselesaan kakitangan, bukannya menyediakan tempat kerja sejuk. Ini jelas dicatat dalam garis panduan antarabangsa.

Penyelesaiannya adalah mengurangkan kesejukan penyaman udara dan menaikkan suhu hanya beberapa darjah celsius sahaja. Ini pun membuat suhunya masih rendah berbanding luar bangunan. Selain daripada itu, penebatan boleh dipasang di beberapa pejabat di mana kebocoran haba dapat dikesan.

Beliau percaya bahawa langkah yang terbaik dan paling mudah dilaksanakan hanya dengan menyesuaikan penyaman udara. Ini boleh dilakukan dengan serta-merta.

Prof Kamaruzzaman berkata beliau telah pun menyerahkan laporan mengenai penggunaan dan penjimatan eletrik ke pejabat Naib-Canselor berikutan arahan daripada Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin baru-baru ini.

Prof Kamaruzzaman memperolehi ijazah pertamanya, Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari University of Wisconsin di Madison di Amerika Syarikat pada tahun 1985. Beliau memperolehi Sarjana Sains dalam Sumber Tenaga di Pusat Kejuruteraan, University of Pittsburgh, Pennsylvania pada tahun 1989 dan menerima ijazah PhDnya dalam Teknologi Suria dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, University of Miami Coral Gables di Florida pada tahun 1997.

Bidang pengkhususan beliau ialah teknologi tenaga suria, teknologi sel fuel dan kajian tenaga yang berkaitan.

Prof Kamaruzzaman menerangkan bahawa sikap kelestarian adalah sikap jangka panjang ke arah perlindungan alam sekitar dan pelaburan baginya adalah amat berbaloi.