UKM akan bina Kompleks Alumni berharga RM25 juta

JUMAAT, 30 NOVEMBER 2012 18:08

Oleh Abd Razak Hussin
Foto Ismail Ibrahim dan Ikhwan Hashim

Bangi, 24 Nov. 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia berhasrat membina sebuah Kompleks Alumni bernilai RM25 juta untuk merapatkan hubungan alumninya dari seluruh dunia.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berharap Kompleks Alumni tersebut akan menjadi satu mercutanda kejayaan UKM yang melahirkan hampir 160,000 orang alumni UKM sejak ditubuhkan lebih 40 tahun lalu.

Alumni UKM bukan saja terdapat di dalam negara tetapi juga di seluruh dunia di sekurang-kurangnya 50 buah negara.

Prof Sharifah Hapsah menyatakan demikian di majlis penyampaian hadiah pertandingan golf Alumni homecoming 2012 di Kelab Danau Gold, Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Seramai 144 orang peserta pertandingan mengambil bahagian, terutamanya alumni UKM dengan hadiah utama dua buah kereta.

Beliau menganggap aktiviti anjuran Pejabat Perhubungan Alumni ini adalah titik permulaan terbaik untuk menyatukan alumni UKM dalam menggerakkan projek yang lebih konkrit termasuk pembinaan Kompleks Alumni UKM itu.

Beliau menggesa, agar para peserta dapat bersama-sama berkempen dalam kalangan hampir 160,000 alumni untuk memastikan hasrat tersebut menjadi kenyataan dan kebanggaan Universiti.

Tan Sri Naib Canselor mengajak para alumni untuk mengambil teladan daripada kemasyhuran universiti-universiti ternama yang menyaksikan para alumninya turut memainkan peranan utama dalam melonjakkan alma mater mereka kepada kedudukan yang lebih dihormati.

Beliau menyeru, para alumni UKM kembali memberi sumbangan bermakna kepada UKM untuk turut bersama-sama menjadikan UKM sederap universiti terbaik dunia.

DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat menyertai Alumni Homecoming Golf 2012. Turut bersama ialah Pro Canselor UKM YTM Tunku Laxamana Dato’ Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan YTM Tunku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Putri Intan Safinaz Binti KeBawah DYMM Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah.