Ahli Keluarga Pengidap Kencing Manis Perlu Mengawal Makanan Mereka Itu

SELASA, 14 OGOS 2012 08:01

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto Dr Rahmah Mohd Amin and Dr Noraishah Jaafar

BANGI, 14 Ogos 2012 – Satu tinjauan kualitatif terhadap pesakit-pesakit kencing manis berusia lebih 60 tahun mendapati sokongan keluarga yang mereka perlukan untuk mengawal pengambilan glukosa tidak wujud.

Tinjauan itu juga merumuskan bahawa pengidap kencing manis itu sendiri perlu sedar dan berazam untuk mengawal gula dalam darah mereka.

Profesor Madya Dr Rahmah Mohd Amin dan Dr Noraishah Jaafar dari Jabatan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan UKM (PPUKM) yang melakukan tinjauan itu mencadangkan agar beberapa pembaikan dilakukan terutama memberi pengetahuan dan nasihat kepada ahli keluarga pengidap mengenai penyediaan makanan yang betul untuk mengawal penyakit mereka itu.

Penyelidikan mereka bertajuk “Tanggapan pesakit kencing manis yang berumur terhadap sokongan keluarga mengawal glukosa” telah dijalankan di Kulim Kedah dari bulan Feb hingga Mei 2009. Ia telah diterbitkan dalam International Journal of Public Health Research Vol 1 No 1 2011.

Ia adalah sebahagian daripada kajian penentuan kawalan glukosa di kalangan pesakit kencing manis yang sudah berumur.

Sepuluh orang responden dipilih berdasarkan tahap kawalan glukosa mereka. Lima daripada mereka terdiri dari kumpulan pengawalan glukosa yang baik (mempunyai ukuran HbA1c 6.5 peratus atau kurang) manakala lima responden lagi terdiri dari mereka yang lemah pengawalan glukosa.

Semua mereka ditemuramah dengan semua perbualan dirakam dan dianalisis.

Responden terdiri daripada tiga lelaki dan tujuh wanita. Semuanya adalah orang Melayu berumur antara 60 dan 73 tahun. Lima daripada wanita itu adalah janda yang tinggal dengan anak perempuan mereka dengan seorang bersama cucunya manakal yang dua lagi tinggal bersama suami masing-masing.

Semua lelaki tinggal bersama isteri mereka dengan seorang daripadanya berumur 66 tahun, seorang lepasan universiti dan menerima pencen RM2000 sebulan.

Dr Rahmah dan Dr Noraishah menerangkan bahawa kawalan penggunaan gula yang lemah adalah satu isu di kalangan pesakit kencing manis.
Oleh kerana mereka ini berumur, mereka juga mengalami beberapa kekangan lain akibat kelihatan yang semakin kabur, lemah pendengaran dan berkurangan tenaga fizikal. Ini menyebabkan mereka memerlukan bantuan ahli keluarga untuk kegiatan seharian.

Golongan yang berusia 60 tahun ke atas dipilih kerana jumlah yang berumur sedang meningkat di dunia. Pada 1950, terdapat hanya 8.2 peratus orang tua dalam dunia. Peratusan mereka bertambah kepada 10 peratus pada 2000 dan dijangka meningkat hingga 21.1 peratus pada 2050.

“Kalangan orang tua sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial dan kesihatan. Mereka tinggal bersendirian, menghadapi masalah penglihatan dan pendengaran, keupayaan fizikal yang lemah selain diserang penyakit-penyakit seperti sakit saluran jantung, angin ahmar, nyanyuk, darah tinggi dan kencing manis,” kata Prof Madya Rahmah dan Dr Noraishah.

Mereka merumuskan bahawa institusi kekeluargaan berperanan penting untuk memberikan sokongan sosial yang diperlukan golongan berumur.

Sokongan utama adalah daripada pasangan mereka sendiri, anak-anak dan ahli keluarga yang lain yang boleh menyediakan sokongan emosi, fizikal dan maklumat.

“Sokongan emosi termasuklah dikasihi dan disayangi serta berkongsi masalah peribadi dengan pasangan atau anak-anak.

“Mereka memerlukan seseorang untuk bercakap dengan mereka supaya boleh mengurangkan masalah yang mereka hadapi. Isteri juga perlu menolong menyedia makanan atau memasak, membersihkan rumah dan menjaga mereka apabila sakit selain menyediakan ubat-ubatan, memantau glukosa dalam darah dan membawa mereka ulang-alik klinik.

“Anak-anak juga boleh membantu dalam soal kewangan terutama bagi orang tua yang tidak ada pendapatan tetap”.

Mereka menerangkan bahawa walaupun wujud perpindahan dari luar bandar ke bandar, institusi keluarga masih merupakan penyokong sosial yang utama dan kerana itu sistem kekeluargaan sedia ada dan hubungan di antara ibu bapa dengan anak-anak perlu diperkukuhkan.

Mereka mendapati walaupun responden kajian menganggap ahli keluarga mereka tidak memainkan peranan dalam pengawalan glukosa, makanan disediakan oleh ahli keluarga mempengaruhi pengambilan makanan responden terutama mereka yang lemah mengawal pengambilan glukosa.

“Biasanya tidak ada makanan khas disediakan untuk responden menyebabkan mereka makan makanan yang disediakan untuk semua ahli keluarga mereka tanpa adanya makanan khusus untuk mereka.

“Oleh itu, maklumat mengenai khasiat makanan penting bukan saja untuk pesakit kencing manis tetapi juga ahli keluarga mereka dalam usaha membantu mereka memilih dan menyediakan makanan”.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa semua responden daripada kumpulan baik mempunyai motivasi yang tinggi dan mengamalkan pemakanan yang sihat manakala responden daripada kumpulan pengawalan glukosa lemah tidak mengamalkan pemakanan sihat. Kebanyakan daripada mereka tidak dapat menolak makanan yang manis walaupun diberitahu agar mengawal pemakanan.

Mereka akan makan mengikut selera masing-masing dan tidak berupaya membuat pertimbangan sendiri.

Jalan keluar menghadapi situasi demikian adalah dengan meningkatkan pengetahuan terhadap pemakanan bukan saja dikalangan pesakit tetapi juga ahli keluarga yang menjaga mereka.

Mereka berpendapat bahawa ahli keluarga perlu juga meluaskan pengetahuan mereka mengenai kawalan khasiat makanan dan pengurusan kencing manis.

Prof Madya Rahmah dan Noraishah mengakui terdapat kekangan dalam kajian mereka itu kerana dilakukan di kalangan orang Melayu saja. Oleh itu hasilnya tidak boleh diunjurkan bagi meliputi penduduk berbilang bangsa negara ini.

Mereka juga tidak mengkaji satu lagi aspek mengenai galakkan ahli keluarga dalam kegiatan fizikal dan senaman pesakit.

Dua aspek ini mungkin boleh mempengaruhi tahap glukosa mereka. Lantas pesakit kencing manis berumur perlu digalak mempunyai keazaman sendiri untuk mengubah gaya hidup dengan mengamalkan makanan sihat dan mengawal pengambilan glukosa serta digalakkan melakukan kegiatan fizikal.