Majoriti Pesakit Barah Payudara Melayu yang Terselamat Gunakan Perubatan Alternatif

ISNIN, 27 OGOS 2012 17:57

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 27 Ogos 2012 – Suatu penyelidikan pelbagai aspek mengenai penggunaan perubatan tambahan dan alternatif (CAM) di kalangan pesakit barah payudara yang terselamat menunjukkan majoriti daripada mereka mengambil makanan tambahan berkhasiat ditambah dengan bersolat dan mengambil ubat tradisional Melayu.

Penyelidikan itu membabitkan 116 wanita Melayu pesakit barah payudara yang terselamat berumur antara 21 hingga 67 tahun yang sudah dua tahun melepasi diagnosis dan sedang  menjalani rawatan susulan di klinik barah payudara di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Rawatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Ubat tambahan dan kaedah alternatif digunakan oleh pesakit barah payudara yang terselamat itu sebagai satu mekanisme mengukuhkan jatidiri untuk melawan penyakit itu. Antara ubat tambahan itu, multivitamin seringkali digunakan diikuti spirulina, vitamin C, minyak primros dan produk-produk herba.

Rumusan itu didapati dari suatu penyelidikan dijalankan oleh Dr Soraya Hanie Shaharudin dan Dr Mohd Razif Shahril, dua pelajar pascasiswazah dan Dr Suhaina Sulaiman, PhD, pensyarah kanan dan pakar pemakanan, semuanya daripada Jabatan Nutrisi dan Pemakanan, PPUKM; Dr Nor Aina Emran, pakarbedah kanan dalam unit payudara dan endokrin HKL dan Profesor Dr Sharifah Noor Akmal Syed Hussain, pakar cytopatologis Jabatan Patologi PPUKM.

Dr Suhaina memberitahu bahawa penyelidikan itu dilakukan untuk mengetahui betapa luasnya penggunaan ubatan tambahan di kalangan pesakit barah payudara yang terselamat di Lembah Klang memandangkan jumlah pesakit yang menggunakan CAM semakin bertambah.

Ia adalah juga untuk mengetahui perbezaan antara pesakit yang mengguna CAM dengan golongan yang tidak.

Ia dijalankan selama enam bulan dari Januari hingga Jun 2007 sebagai sebahagian daripada Kajian Barah Payudara Genetik, Molekular dan Proteomik di Malaysia.

Dua klinik payudara pesakit luar daripada hospital perujuk –Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) – dipilih untuk mendapatkan pesakit yang layak untuk kajian. HKL kini adalah sebuah hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, dianggap salah sebuah yang terbesar di rantau Asia manakala PPUKM adalah sebuah pusat perubatan akademik ditubuhkan dengan percantuman Fakulti Perubatan UKM dan hospital pendidikannya.

Dr Suhaina berkata mereka mendapati pengguna CAM adalah lebih tua, mempunyai pendidikan menengah dan terdiri daripada isi rumah berpendapatan pertengahan.

“Bagaimanapun, kajian tidak mendapati adanya perbezaan besar di antara pengguna CAM dengan mereka yang tidak menggunakannya. Anggota keluarga juga didapati memainkan peranan penting sebagai sumber maklumat selain doktor/penyelia penjagaan kesihatan, sahabat-sahabat dan bahan bercetak/media massa.”

Alasan yang diberikan untuk mengguna CAM adalah untuk membantu mengukuhkan kekuatan dalaman, untuk menyembuhkan barah serta mengurangkan stress. Hanya separuh daripada peserta berbincang dengan doktor mereka mengenai keselamatan penggunaan CAM.

“Mereka didapati mula menggunakan CAM ketika menjalani rawatan klinikal. Kebanyakan peserta menggunakan CAM selama lebih setahun dengan membelanjakan antara RM100 hingga RM149 sebulan membeli CAM (oleh 32 peratus peserta).

“Penggunaan CAM didapati berkesan dan memberi manfaat melawan penyakit dan mereka berpuas hati dengan terapi CAM. Pelbagai bentuk analisis mendedahkan bahawa keputusan untuk menggunakan atau tidak menggunakan CAM tidak bergantung kepada latarbelakang sosiodemografik atau sejarah rawatan klinikal barah,” kata Dr Suhaina dalam laporan mereka bertajuk “Penggunaan Ubat-ubatan Tambahan dan Alternatif di Kalangan Pesakit Barah Payudara yang Terselamat” disiarkan dalam Alternative Therapies, Jan/Feb 2011.

Di Malaysia, kekerapan penggunaan CAM adalah sekitar 60 peratus di kalangan berbagai pesakit barah. Penyelidikan itu juga mendapati hampir 70 peratus dari pengguna CAM mengambil ubat tambahan pemakanan seringkali multivitamin (57%) dan vitamin C (32%). Manakala amalan ibadat adalah penawar tambahan paling biasa diamalkan oleh peserta.

Satu penyelidikan kualitatif juga mendapati bahawa ramai pesakit barah payudara yang terselamat menggunakan ubat dibancuh, disapu dan bersolat.

Menurut kajian ini ramai pesakit menggunakan CAM kerana mereka bimbang untuk menjalani pembedahan, dipengaruhi oleh rakan-rakan, yakin terapi alternatif berkesan dan ada yang telah melalui pengalaman pahit di hospital.

Oleh kerana barah payudara begitu traumatik kepada pesakit, mereka cenderung untuk menggunakan CAM untuk mendapatkan kekuatan diri dalam usaha untuk pulih.

Dr Suhaina menerangkan bahawa daripada 125 pesakit yang menyertai penyelidikan itu, 114 adalah secara sukarela. Kebanyakan daripada mereka sudah berkahwin (76.3%), berpendidikan peringkat menengah (54.4%), tidak bekerja (51.8%) dan mempunyai pendapatan keluarga antara RM1001 dan RM3000 (44%).

Kebanyakan daripada mereka sudah pun menjalani tiga modaliti rawatan klinikal, iaitu pembedahan (97.4%), terapi radiasi (89.5%) dan kemotherapi (88.6%). Separuh daripada peserta kini menggunakan terapi hormon (53.5%).

Terapi hormon diberikan kepada peserta menurut status penerimaan estrogen mereka dan mereka perlu mengambil terapi hormon selama lima tahun.

Majoriti daripada peserta telah disahkan mengidap barah payudara pada tahap II (49.1%) dengan 25.4% berada pada tahap I, tahap III (22.8%) dan tahap IV(2.6%).

Sebanyak 64 peratus daripada peserta dikenalpasti sebagai pengguna CAM. Daripada 17 jenis CAM disenaraikan, 12 digunakan oleh peserta dengan yang paling biasa adalah ubat tambahan pemakanan (86.3%).

Antara yang terbanyak adalah multivitamin (53%), spirulina (32%), vitamin C (27%), minyak evening primros (18%) dan produk herba (11%).

Oleh kerana semua peserta terdiri dari orang Melayu dan beragama Islam, mereka biasanya bersolat dan menggunakan ubat-ubatan tradisional Melayu iaitu sebanyak 27.4 peratus. Lebih separuh daripada pengguna CAM tidak membincangkan penggunaan ubat tambahan itu dengan doktor mereka.

Penyelidikan itu mendapati hampir separuh daripada pengguna CAM mula menggunakannya ketika sedang menjalani rawatan klinikal lagi. Seramai 36 daripada mereka telah menggunakan sekurang-kurangnya satu jenis CAM selama lebih 12 bulan. Belanja paling banyak dikeluarkan oleh pengguna CAM berkisar dari RM100 hingga RM149 sebulan (31.5%).

Jenis ubat tambahan pemakanan adalah Multivitamin, Spirulina, Vitamin C, minyak Evening primros, produk Herba, Kalsium, Agar-agar rumpai laut, Vitamin B komplex, Vitamin E, Vitamin A, Minyak Ikan, Vitamin D, Gingko biloba, Besi, Bawang Putih, Ekstrak Ginseng (Pharmaton), Teh Hijau dan Aloe vera.

“Sebab mereka menggunakan CAM bergantung kepada jenis CAM yang digunakan dengan sebab utama untuk membantu memulihkan kekuatan dalaman (57.6%), mengubati dan menghalang barah daripada merebak (41.1%) dan untuk mengurangkan stress (16.4%). Lain-lain sebab dikenalpasti adalah galakkan oleh ahli keluarga (27.4%) dan saranan doktor mereka (15.1%).

“Bagi pengguna ubat tambahan pemakanan, sebab diberikan adalah untuk mengubati barah dan membantu menyembuhkan kekuatan dalaman tubuh badan. Ini mencerminkan keinginan mereka untuk sihat dengan mengambil produk yang mengandungi nilai nutrisi yang tinggi dan terbukti dalam menambahbaik kesihatan.

 “Sebaliknya penggunaan cara kerohanian seperti bersolat dan penyembuhan kebatinan diyakini bagi membantu mengukuhkan kekuatan dalaman dan mengurangkan stress,” kata Dr Suhaina.

Sebab yang jarang diberikan bagi penggunaan CAM adalah bagi mengurangkan kesakitan (9.6%) dan membantu membaiki luka (2.7%). Majoriti pengguna CAM (82.2%) mendakwa penggunaan ubatan tambahan itu berkesan dan mereka puashati dengan penggunaannya (85.0%), kata Dr Suhaina.

Peserta ditanya bagaimana mereka mengetahui mengenai CAM yang mereka gunakan atau pernah gunakan dan menyatakan mereka dipengaruhi terutamanya oleh ahli keluarga (50.7%) dan rakan-rakan (31.5%). Dua golongan ini adalah sumber utama maklumat dan ini menunjukkan bahawa ahli keluarga mempengaruhi peserta untuk menggunakan CAM.

Sumber lain adalah doktor atau profesional penjagaan kesihatan (37.0%) dan daripada media massa atau bahan bercetak (13.7%).

Dr Suhaina merumuskan bahawa penggunaan CAM telah meningkat di kalangan penduduk amnya dan terutama di kalangan pesakit payudara yang terselamat. Di kalangan penduduk Amerika sendiri perubatan alternatif yang digunakan meningkat dengan banyaknya di antara 1990 dengan 1997.

“Ajaran agama dan kerohanian adalah penting dalam penjagaan barah terutama dalam menangani penyakit itu. Oleh kerana semua peserta kajian adalah orang Melayu dan beragama Islam, solat dan pengubatan kerohanian biasa digunakan sebagai satu cara CAM di samping rawatan barah konvensional.

“Solat ada kaitan dengan rutin seharian orang Islam. Satu kajian mendapati bahawa 62 peratus pesakit barah yang terselamat bersolat untuk memohon kesihatan. Menurut kajian itu, orang bersolat memohon diberikan kesihatan apabila anggapan mereka terhadap kesusahan dan kematian berkaitan penyakit dihidapi meningkat.

“Sebaliknya, aspek kerohanian memainkan satu peranan penting dalam membantu wanita menangani tanggapan mereka terhadap kematian dan dalam menghadapi keadaan kesihatan mereka,” kata Dr Suhaina.

Satu kajian di Iran mendapati bahawa penyembuhan penyakit secara kerohanian digunakan hampir 80% pesakit barah. Cara ini banyak digunakan kerana ia tidak membabitkan belanja.

Dr Suhaina berkata kajian itu mendapati setelah disahkan mengidap barah payudara, peserta biasanya melakukan solat sunat Taubat dan Hajat.

 “Peserta juga berdoa selepas solat waktu, meminta agar Allah menyembuhkan mereka daripada penyakit itu. Sesetengah daripada peserta juga membaca al-Quran malah surah-surah tertentu yang diyakini berfaedah dalam mengatasi barah.”

Menurut peserta, amalan membaca ayat suci al-Quran diajar oleh ahli keluarga mereka dan rakan-rakan. Keyakinan dan kepercayaan terhadap keagungan Allah mengubati penyakit telah menggerakkan antara mereka menunaikan Haji dan seorang lagi melakukan Umrah.

Walaupun usaha mencampurkan cara pemulihan kerohanian dengan penyakit dihidapi masih dipersoalkan, seorang penyelidik, Weiger WA berpendapat solat dan penyembuhan secara kerohanian mempunyai impak positif terhadap keadaan emosi pesakit dan simptom fizikal mereka.

Namun, kata Dr Suhaina, kesan kepercayaan agama dan kerohanian dalam mengekalkan kekuatan dalaman manusia sepanjang kehidupan mereka selain membaiki mutu penghidupan memerlukan penyelidikan mendalam.

Apa yang menarik adalah pengguna CAM didapati lebih tidak berpuashati dengan doktor kesihatan mereka dan amat takut penyakit itu berulangan.

Dr Suhaina menerangkan bahawa budaya masyarakat Melayu sememangnya menghendakkan keluarga memberikan sokongan kuat sebagaimana masyarakat sekeliling juga akan memberi pertolongan kepada seseorang dilanda musibah. Lantas pengaruh ahli keluarga dalam soal kesihatan amat kuat.

Ciri budaya ini disokong oleh semangat persaudaraan yang kukuh dalam keluarga sebagaimana ditekankan Islam. Islam juga menetapkan bahawa ahli keluarga dan saudara sesama Islam mempunyai tanggungjawab untuk menjaga ahli keluarga khususnya yang ditimpa penyakit, berdoa untuk mereka dan membantu mereka dari segi kewangan.