Perjumpaan Sempena 25 Tahun Graduan FSSK Tahun 1987

SELASA, 14 OGOS 2012 08:16

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 14 Ogos 2012 – Satu majlis perjumpaan alumni lulusan tahun 1987 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan diadakan pada 31 Ogos dan 1 September ini sempena genap 25 tahun mereka lulus dari UKM.

Satu kenyataan FSSK berkata perjumpaan itu yang akan diadakan di Chancelori di sini adalah yang pertama dianjurkan untuk lulusan dari fakulti itu bagi tahun 1987.

Ia bertujuan menemukan kembali graduan fakulti itu yang sekian lama terpisah atau terputus hubungan selepas menamatkan pengajian mereka.

Pertemuan itu akan memberi peluang untuk mereka bersua muka di samping merapatkan kembali hubungan antara mereka selain mengimbau kenangan ketika bergelar pelajar UKM setelah 25 tahun meninggalkannya.

Pihak FSSK akan cuba mengumpulkan seramai mungkin dari mereka itu dan mensasarkan kira-kira 500 orang akan hadir termasuk pasangan selain kehadiran beberapa orang bekas penyarah fakulti itu untuk mengenang jasa mereka.

Ia juga adalah sempena Aidil Fitri memandangkan ia akan diadakan dalam bulan Syawal untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka yang telah lama terpisah.

Bayaran RM100 akan dikenakan untuk seorang.