UKM Tuan Rumah Kepada Satu Lagi Program Pertukaran Pelajar Antarabangsa

SELASA, 28 OGOS 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 26 Ogos 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dipilih oleh sebuah lagi pertubuhan program pertukaran pelajar antarabangsa sebagai rakan kongsi untuk menjadi tuan rumah rancangan sulungnya di Malaysia bagi sesi pelajaran 2012 sekarang.

UKM mengendalikan rancangan itu untuk Pertubuhan American Field Service (AFS) bagi pelajar asing untuk menimba pengalaman pelbagai budaya Malaysia.

Akademi Musim Panas 2012 ini bermula dari esok (Ogos 27) hingga Sep 8 berdasar kepada program antarabudaya yang diadakan setiap tahun di Karlsruhe, Jerman.

AFS adalah sebuah pertubuhan mengendalikan program pertukaran pelajar dan remaja di lebih daripada 50 negara. AFS Antarabangsa menyokong dan membangunkan organisasi AFS di seluruh dunia.

Kumpulan pertama 38 pelajar Akademi Musim Panas 2012 ini sedang menjalani program yang dibangunkan bersama  oleh Institut Kajian Etnik (KITA) UKM serta AFS Malaysia.

Mereka diraikan dalam suatu majlis kemesraan di kampus UKM di sini malam ini. Ia dihadiri Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin; Pengarah KITA, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin serta pengendali dan jurulatih dari AFS dan Universiti Antarabangsa Karlshocchshule, Jerman.

Prof Sharifah Hapsah berkata UKM mepunyai pengalaman menjadi tuan rumah program pertukaran pelajar antarabangsa, seperti Mobiliti Antarabangsa yang diadakan setiap tahun.

Terdapat banyak persamaan antara program Akademi Musim Panas itu dan program Mobiliti, yang baru sahaja selesai bulan lepas bagi sesi 2012 sekarang dengan menggabungkan pengalaman kehidupan universiti di UKM dengan perjalanan pelbagai budaya di Malaysia.

 

Prof Ulung Shamsul Amri menggesa pelajar untuk berfikiran terbuka mengenai keadaan di Malaysia dengan menyatakan bahawa pengalaman adalah cara terbaik untuk belajar mengenai budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat.

Pengerusinya AFS Malaysia, Datuk Mahadzir Lokman, seorang peserta AFS pada tahun 1973 di Amerika, berkata kajian menunjukkan bahawa program pertukaran AFS boleh membawa kesan yang mendalam dan meluas kepada peserta.

AFS, katanya, telah membantu lebih dari 400,000 pelajar dan belia melalui pengalaman pembelajaran antarabudayanya.

Peserta mendapat perspektif yang lebih luas sambil membina kesinambungan bermakna dan berkekalan dengan orang yang mereka temui semasa menjalani program.

Beliau percaya peserta AFS mendapat manfaat daripada menjadi sebahagian daripada komuniti global AFS yang mahu berkongsi minat untuk meneroka pelbagai budaya asing serta berhubungan dengan mereka dari pelbagai latar belakang.

Pelajar kumpulan pertama itu berusia antara 18 hingga 25 terdiri daripada 21 orang Jerman, empat Malaysia, lima Cina, dua Itali, dua Thai dan masing-masing seorang dari Austria, Kanada, New Zealand dan Romania.

Mereka menginap di Kolej kediaman Dato ‘Onn dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti di kolej dan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) sambil mengadakan lawatan ke luar kampus termasuk menemui masyarakat Orang Asli di Pulau Carey, Klang, melawat Muzium Negara dan Desa Mentari di Petaling Jaya untuk merasai kehidupan harian di rumah pangsa.