Planet Marikh Dapat Didiami Manusia Menjelang Akhir Abad Ini

RABU, 31 OKTOBER 2012 12:50

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi, Izwan Azman

BANGI, 30 Okt, 2012 – Planet Marikh akan dapat didiami manusia menjelang akhir abad ini, kata seorang angkasawan Amerika Syarikat, Dr Daniel T. Barry.

Beliau berkata penerokaan Marikh akan bermula dalam tempoh 25 tahun ini dan usaha akan dijalankan untuk membolehkan planet itu sesuai didiami manusia.

Dr Barry, ahli Suruhanjaya Angkasa Amerika Syarikat yang memutuskan untuk meneruskan dengan projek Marikh, berkata masa depan manusia terletak di planet merah itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan awam dengan angkasawan Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, Dr Barry berkata menjelajah ke Marikh adalah sesuatu yang perlu manusia lakukan. Perjalanan ke planet itu makan masa enam bulan.

Syarahan umum dan bengkel itu dianjurkan oleh Institut Sains Angkasa (ANGKASA) UKM dan Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) sempena mesyuarat Antara Sains Global dan Majlis Penasihat Inovasi (GSIAC). GSIAC dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dr Barry berkata Marikh telah terbukti mempunyai air dan kehidupan boleh diwujudkan di planet itu dan boleh dijadikan sesuai untuk didiami manusia. Penerokaannya untuk penempatan boleh dimulakan dan beliau meramalkan ia akhirnya akan menjadi koloni bebas daripada Bumi.

Beliau berkata penerokaan ke asteroid dan kawasan di luar Sistem Suria boleh dilakukan daripada Marikh.

Bulan, katanya, terlalu dekat dengan bumi untuk digunakan sebagai tapak pelancaran ke planet-planet lebih jauh. Tambahan pula bulan tidak boleh menyokong kehidupan seperti Marikh.

Beliau meramalkan planet itu akan menjadi lebih daripada tempat perlindungan kerana akhirnya ia akan dijadikan tempat tinggal generasi masa depan.

 

Dr Barry telah menceritakan pahit-manis pengalamannya sebagai angkasawan. Beliau menyertai tiga penerbangan dengan Space Shuttle, empat kali membuat “spacewalk” dan dua perjalanan ke Stesen Angkasa Antarabangsa.

Beliau juga menceritakan pengalamannya melihat Semenanjung Melayu dari angkasa lepas buat kali pertama, yang beliau sifatkan sebagai menakjubkan.

Dr Barry, yang dilahirkan pada tahun 1953, berkata beliau telah mempunyai impian untuk menjadi seorang angkasawan sejak kecil lagi selepas melihat angkasawan Amerika yang dilancarkan ke orbit pada tahun 1960-an.

Beliau kemudian berkali-kali memohon untuk menjadi seorang angkasawan dengan Agensi Kebangsaan Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA), tetapi telah ditolak sekurang-kurangnya tujuh kali.

Dalam tempoh itu, Dr Barry mendapat ijazah PhDnya dari Princeton University dan menjadi felo pasca-doctorat di Yayasan Sains Kebangsaan dalam bidang fizik di Princeton.

Beliau kemudian mengambil kursus perubatan di University of Miami dan lulus sebagai seorang doktor perubatan pada tahun 1982. Beliau menamatkan latihan dan residensi di Michigan University pada tahun 1985 dan kemudiannya dilantik sebagai penolong profesor di Jabatan Perubatan Fizikal dan Pemulihan di universiti itu.

Dr Barry dipilih oleh NASA pada tahun 1992 untuk program Space Shuttle dan berkhidmat di Pusat Angkasa Johnson mulai tahun itu. Selepas setahun latihan, beliau layak untuk diberi tugas sebagai pakar misi bagi krew penerbangan ulang-alik Space Shuttle.

Dr Barry juga terkenal sebagai pensyarah yang berjaya mengajar remaja menjadi penulis perisian komputer dalam beberapa jam pengajaran sahaja. Bengkel yang dikendalikannya adalah untuk mengajar remaja bagaimana mengguna perisian komputer untuk mengawal helikopter kecil.

Beliau kini memegang jawatan Presiden dan Pengasas syarikat Denbar Robotics, sebuah firma yang mencipta dan membuat robot untuk perkhidmatan kejuruteraan, penjagaan kesihatan dan operasi dalam alam sekitar yang ekstrem.

Beliau juga terlibat dalam pelbagai inisiatif untuk menggalakkan minat dalam bidang sains di banyak negara, terutamanya di kalangan generasi muda.