Robot Mikro Ciptaan Pelajar UKM Naib Johan Bolasepak Robot Sedunia

SELASA, 23 OKTOBER 2012 00:00

By Shahfizal Musa
PKK and UKM Press Photo Unit

BANGI, 22 Okt 2012 – Prestasi sekumpulan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berjaya menjadi naib johan dalam kategori Robot Mikro di pertandingan Bola Sepak Dunia Roboworld Cup FIRA (Federation of International Robotics Association) 2012 mendapat pengitirafan Naib Canselor hari ini.

Berucap di sidang kelima pada hari ketiga Konvokesyen ke 40 UKM hari ini, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berbagga dengan pencapaian pelajar Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat itu yang telah menempa nama di persada antarabangsa dan mengharumkan nama baik UKM.

Kejohanan Fira Roboworld Cup adalah pertandingan pasukan bolasepak robot yang terbaik di dunia. Ia adalah suatu pertandingan robot berteknologi termaju dalam kawasan yang terhad. Satu pasukan mempunyai empat robot terdiri dari satu penjaga gol dan tiga pemain lain.

Pertandingan itu membuka peluang bagi generasi muda dan penyelidik yang berminat dengan sistem robot bergerak sendiri (autonomos) menunjukkan kemahiran mereka.

Ia bukanlah suatu pertandingan yang mudah kerana ke empat-empat robot perlu bergerak dengan sendiri mengikut apa yang telah di programkan untuk menjaring gol. Ia tidak di kawal melalui alat kawalan jauh.

Pasukan robot UKM itu hanya kalah kepada pasukan Edragon dari Cina setelah mengalami masalah frekuensi.

Sebelum bertanding di Bristol, Britain mereka telah memenangi pertandingan kejohanan FIRA (Federation of International Robotics Association) di peringkat Malaysia 2012 yang telah diadakan di Seberang Perai. – Portal Berita UKM

Kemenangan mereka itu bagaimana pun tidak di kesan oleh media tempatan. Walau bagaimana pun kemenangan mereka telah memberi UKM reputasi sebagai mempunyai salah satu pasukan robot mikro yang terbaik di dunia.