UKM Mampu Menjana RM 40 Juta Dari Harta Intelek

SABTU, 20 OKTOBER 2012 19:12

Oleh Shahfizal Musa
Foto PKK dan Unit foto Penerbit

BANGI, 20 Okt 2012- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu menjana kira-kira RM40 juta dari harta intelek yang dikomersilkan sehingga kini melalui pelesenan teknologi dan syarikat terbitannya.

Salah satu daripadanya adalah pengkormesialan projek penyelidikan Cili Bangi yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Ini telah berjaya dilakukan oleh Carotech Sdn Bhd, sebuah syarikat terbitanya, kata Naib Canselor Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin hari ini.

Berucap di upacara pertama Konvokesyen UKM yang ke 40 di sini pagi ini, Prof Sharifah Hapsah berkata universiti itu telah berjaya mendaftarkan sejumlah 573 harta intelek hingga sekarang, ia itu penambahan sebanyak 287% sejak 2007.

Konvokesyen tahun ini menyaksikan sejumlah 384 Ijazah Doktor Falsafah di anugerahkan, suatu jumlah terbesar dalam sejarahnya.

Majlis itu bermula hari ini dan akan berlangsung hingga Selasa depan untuk menyampaikan watikah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah kepada seramai 7,561 graduan terdiri dari 185 ijazah sarjana kepakaran perubatan dan pergigian, 2064 ijazah sarjana, 4829 ijazah sarjanamuda dan 99 diploma siswazah dan diploma selain dari 384 ijazah doktor falsafah,.

Prof Sharifah Hapsah berkata UKM juga telah membuat penemuan yang bukan sahaja membantu masyarakat setempat malahan seluruh dunia.

Contohnya empat orang lulusan doktor pakar di bawah bimbingan Prof Dr. Zainul Rashid Mohd Razi telah berjaya mencipta kaedah pertama di dunia bagi menghalang darah tinggi ibu mengandung.

Beliau berkata berbagai program pengajiannya juga menjadi rebutan pelajar dari dalam dan luar negara. Pada masa ini terdapat 2800 orang pelajar antarabangsa dari 55 buah negara merupakan 30 peratus daripada keseluruhan pelajar pasca siswazahnya.

Baru-baru ini kerajaan Afghanistan telah memilih UKM dari semua IPTA di Malaysia untuk menghantar 48 orang pelajarnya mengikuti pengajian pasca siswazah.

Prof Sharifah Hapsah berkata bahawa pencapaiannya itu di alami dalam semua bidang dan tidak terbatas kepada penyelidikan sahaja.

Pasukan UKM telah berjaya memenangi tempat ketiga untuk kategori rekacipta dan kejuruteraan (Design and Engineering) dalam cabaran Perodua Eco-challenge.

Dalam bidang sukan pula, pasukan Bola Tampar UKM telah menjuarai buat kali ke-3nya Kejohanan Jemputan Antarabangsa di Universiti Teknologi Malaysia manakala pasukan Kriketnya pula muncul sebagai juara Kejohanan Kriket Undangan Universiti Antarabangsa 2012.

Juga menarik ialah UKM turut dinobatkan Johan Tilawah Al-Quran Antara Universiti Peringkat Kebangsaan buat kali ketiga berturut-turut, tambah beliau.

Hadir di upacara konvokesyen pertama pagi ini ialah Canselor UKM yang juga Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud; Pro-Canselor,Tunku Laxamana Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar; Pengerusi Lembaga Pengarah, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Zawawi Ismail; pembesar-pembesar lain UKM, Dekan, Pensyarah; para penerima watikah dan anggota keluarga mereka.