Universiti Tempatan Perlu Tetapkan Tahap Tinggi Bagi Graduan Mereka Untuk Boleh Bersaing

AHAD, 21 OKTOBER 2012 19:36

Oleh Shahfizal Musa
Foto PKK dan Unit Foto Penerbit

BANGI, 20 Okt 2012 – Universiti tempatan perlu menetapkan suatu tahap kebolehan tinggi untuk graduan mereka agar setanding dan boleh bersaing dengan graduan dari universiti luar.

Penerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tun Zaki Tun Azmi berkata kualiti seorang graduan bukan terletak pada segulung ijazah yang diperolehnya tetapi pada keupayaan diri untuk menggunakan ilmu dan kemahiran untuk bersaing di dunia sebenar.

Berucap ketika menerima anugerah itu dari Chanselor UKM, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di majlis konvokesyen ke 40nya hari ini, beliau berkata kebolehan graduan tempatan untuk bersaing akan meletakkan Malaysia setanding dengan negara luar.

Tun Zaki adalah mantan Ketua Hakim Negara yang telah banyak menyumbang kepada penambahbaikan sistem kehakiman dan perundangan negara.

Beliau berkata globalisasi bukanlah sesuatu yang akan datang tetapi telah pun berada sekarang.

Beberapa buah universiti luar telah pun membuka cawangan mereka di Malaysia dan graduan universiti tempatan perlu boleh bersaing dengan graduan universiti-universiti luar untuk mendapatkan pekerjaan.

Di bidang kehakiman pula, peguam luar negara akan mula dibenarkan mengamalkan undang-undang di Malaysia mulai tahun depan.

“Saya tidak menafikan yang graduan universiti tempatan mampu bersaing dengan graduan luar tetapi para pelajar kita masih banyak menggunakan hafalan berbanding dengan pelajar luar yang mampu menggunakan kebolehan berfikir dengan lebih baik,” katanya.

Beliau menganggap anugerah yang diberikan kepadanya tidak kerana pencapaian diri sendirinya sahaja tetapi adalah pengiktirafan kepada pencapaian badan kehakiman Malaysia.

“Anugerah yang berprestij ini merupakan satu bentuk pengiktirafan untuk jasa dan sumbangan bagi warga Kehakiman Negara, khususnya dalam usaha menyelesaikan masalah kes-kes tertunggak”, tambah beliau.

Justeru hasil usaha itu orang ramai tidak lagi perlu menunggu lama untuk menuntut keadilan, kata Tun Azmi.

Beliau adalah antara tujuh orang tokoh yang diberi pengitirafan oleh UKM untuk menerima Ijazah kehormat kerana sumbangan tidak ternilai mereka kepada negara.