Ilmu Metamatematik Sesuai Untuk Pemeliharaan Rohani

ISNIN, 03 SEPTEMBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahidaan Saidi

BANGI, 3 Sep 2012 – Kajian Ilmu Metamatematik adalah sesuai untuk sesiapa saja yang ingin memelihara dan mengembangkan potensi diri termasuk aspek kerohanian mereka, khasnya umat Islam, kata seorang Profesor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM.

Profesor Falsafah dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Prof. Dr. Abdul Latif Hj. Samian berkata ilmu Metamatematik mempunyai kerelevanannya kepada falsafah Islam.

Ketika menyampaikan Syarahan Perdana Profesornya atas tajuk Memetakan Metamatematik di sini, Prof. Abdul Latif berkata metamatematik tidak tertumpu kepada kebendaan semata-mata tetapi juga kepada aspek kognitif, afektif dan kognitif yang berpadanan dengan ajaran Islam dalam membangunkan diri dan masyarakat di samping mengkaji alam semesta.

Metamatematik ialah cabang falsafah  yang menganalisis landasan pemikiran matematik. Ia merupakan matematik yang menyelidikki  persoalan ilham, logik dan metodologi penyelesaian masalah pematematikan. Ia  mendalami asas-asas matematik dan memerlukan kefahaman falsafah yang mendalam  dari perspektif  epistemologi dan  metafizik.

Dalam syarahannya itu, beliau menerangkan berlaku krisis yang menggoyangkan keyakinan masyarakat Eropah terhadap kebenaran matematik seperti penemuan geometri yang tidak berasaskan kepada postulat Euklid. Metamatematik sewajarnya berdasarkan kepada  keesaan  Allah SWT. Maka motivasi yang sangat kukuh adalah mengenali rahsia alam semesta ini menerusi penyelidikan tentang ruang dan masa, titik dan detik, geometri dan aritmetik, untuk lebih mengenali Tuhan dan menangani masalah kemanusiaan. Persoalan mengenai matematik bukan sahaja berkaitan dengan pembahagian zakat ataupun kedudukan kiblat, tetapi cuba menyelesaikan masalah  manusia dalam pelbagai bentuk.

Prof. Abdul Latif menerima ijazah Sarjana Sains (MSc) dari Indiana State University dan Sarjana Sastera (MA) dari Indiana University, Amerika Syarikat. Beliau memperoleh Diploma Pendidikan dari UKM dan Doktor Falsafah dari Universiti Malaya (UM).

Di antara terbitan dan sumbangan akademik beliau adalah makalah dalam The Encyclopaedia of the History of Science, Technology and Medicine in Non-Western Cultures, jurnal Islamic Culture, Muslim Education Quarterly, Akademika, Sains Malaysiana, Pemikir,  Kesturi, Hamdard Medicus, Jawhar, Islamiyyat, Jurnal Antarabangsa Alam dan Tamadun Melayu, Journal  of Islamic Education, Analecta Husserliana dan The International Journal of Philosophy of Culture and Axiology.

Beliau juga telah menghasil dan menterjemahkan beberapa buah buku dan bab dalam buku yang di terbitkan oleh berbagai penerbit termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka,  Springer, Kluwer Academic Press, UM dan UKM.