Pembangunan Sains Angkasa: Universiti Penyelidikan Perlu Bekerjasama

SELASA, 04 SEPTEMBER 2012 17:09

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 3 Sept 2012 – Semua universiti penyelidikan termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu bergabung sumber mereka dalam usaha membangunkan Sains Angkasa supaya mengelakkan persaingan mendapatkan pembiayaan yang terhad.

Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat aeroangkasa terkemuka negara, Astronautic Technology (AT) Dato’ Dr Haji Ahmad Sabirin Dato’ Arshad yang membuat syur itu juga mencadangkan mereka bekerjasama dengan pihak swasta dalam usaha itu.

Beliau berkata penerokaan Angkasa adalah satu usaha strategik kebangsaan yang harus diterajui Kerajaan bukannya diserah bulat-bulat kepada institusi untuk menjalankan projek tanpa penyelarasan kerana kos penerokaan angkasa amat tinggi dan tidak boleh bergantung pada institusi sahaja.

Negara juga memerlukan hala tuju Penyelidikan & Pembangunan (R&D yang belum wujud.

Berucap pada siri Seminar ke 3 ANGKASA anjuran Institut Angkasa Sains (ANGKASA) UKM di sini hari ini, Dr Ahmad Sabirin berkata kini berlaku persaingan kurang sihat di antara universiti penyelidikan kerana mereka enggan berkongsi maklumat. Ini akan membantutkan pembangunan sains angkasa negara.

Mengulas usaha menyediakan satelit kecil atau Nano Satelit, beliau berkata walaupun kosnya adalah lebih murah tetapi terdapat risiko yang lebih terhadap pengendaliannya setelah dilancarkan.

Semakin kecil sebuah satelit, semakin ia terdedah kepada radiasi dan dirosakkan oleh serpihan angkasa lepas. Cara terbaik ialah menghantar beberapa nano satelit untuk mengumpul data.

Beliau menerangkan bahawa kerajaan telah berapa kali terpaksa campur tangan dan menyumbang terhadap projek pelancaran satelit kerana pelbagai sebab, termasuk masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat atau institusi terbabit.

Kes terbaru, katanya, ialah RazakSat yang direka oleh AT dengan bantuan Amerika Syarikat. RazakSat berjaya dilancarkan pada tahun 2009, tetapi kini menghadapi masalah memancar isyarat kembali ke bumi. Kos projek ketika itu mencecah US$17 juta atau (RM60 juta mengikut tukaran ketika itu).

Dr Ahmad Sabirin kesal dengan kecaman terhadap AT dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 kerana masalah itu. Jika Malaysia mahu serius dalam usaha penerokaan angkasa, ia mestilah bersedia untuk menerima apa-apa kemalangan seperti kerosakan satelit yang juga dialami negara lain.

Kegagalan demikian akan berterusan wujud dalam program angkasa, tetapi itu adalah suatu hakikat yang perlu diterima..

 

Dr Ahmad Sabirin berkata walaupun projek satelit telekomunikasi MeaSat 1 adalah suatu usaha swasta oleh Binariang pada tahun 1996 bagi melancarkan perkhidmatan televisyen satelit pertama negara, syarikat itu memerlukan banyak bantuan kerajaan untuk menjayakannya.

Walaupun syarikat Binariang tidak menghadapi masalah kewangan, ia mungkin enggan mengambil risiko itu tanpa geran dari kerajaan.

Beliau menerangkan bahawa saintis tempatan memberi sumbangan dalam projek Measat tetapi kebanyakan pembuatan bagi sistem yang rumit direka di Amerika Syarikat.

Jumlah kos termasuk kos pelancaran tidak diumumkan oleh MEASAT dan kerajaan, tetapi pelaburan dalam satelit sahaja ialah US$70 juta (bersamaan dengan RM245 juta ketika itu). Ini tidak termasuk US$19 juta (RM67 juta) lagi pada tahun 2006 untuk MEASAT bayar kepada penaja dan jaminan undang-undang kepada pembekal.

Beliau menerangkan bahawa di Amerika Syarikat pun usaha demikian bergantung kepada dana kerajaan pusat AS, seperti syarikat SpaceX, yang kini merasa lega kerana memperolehi kontrak pertamanya bernilai USD1.6 bilion atau RM5 bilion dari NASA untuk menghantar kargo ke stesen angkasa antarabangsa (ISI).

Beliau menyifatkan penghantaran angkasawan hanyalah sebagai satu usaha menaikkan semangat dan kebanggaan negara. Dari segi penyelidikan sains, ia agak terhad kerana angkasawan Malaysia yang pertama mempunyai masa yang agak singkat di Stesen Angkasa Antarabangsa pada tahun 2007.

Menurut ANGKASA kos untuk menghantar Dr Sheikh Muzaphar Shukor Sheikh Mustapha ke angkasa adalah sejumlah RM27 juta dengan menumpang roket Rusia tetapi kos itu dilunaskan melalui perjanjian perdagangan dua hala dengan Rusia membabitkan pembayaran untuk minyak sawit yang dibelinya dari Malaysia.