Pensyarah UKM Mencipta Pengecas Telefon Bimbit Menggunakan Tenaga Suria

SELASA, 18 SEPTEMBER 2012 15:31

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 14 Sep 2012 – Kisah penduduk di pedalaman negaranya, Bangladesh yang memiliki telefon bimbit tetapi tidak dapat mengecasnya kerana ketiadaan elektrik menyentuh perasaan Dr Nowshad Amin hingga mendorongnya mencipta pengecas tenaga suria kecil.

Profesor Madya di Jabatan Elektrikal, Elektronik dan Sistem Kejuruteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bertekad mencipta pengecas murah untuk menolong mereka – lantas diciptanya pengecas kecil mengguna tenaga suria diberi nama Greenfinity TM.

Alat berukuran 19 sentimeter x 36.5 sentimeter ini bukan saja mampu mengecas telefon bimbit malah tenaga keterbaharuan di simpan dalam bateri kecilnya mampu digunakan untuk memasang lampu menerangi malam.

Ia turut mampu membekalkan tenaga menggerakkan peralatan elektronik kecil. Dijual dengan harga RM150 sebuah hampir 500 sudah pun dijual sebahagian besarnya di Bangladesh.

Sebelum itu penduduk kampung perlu ke bandar untuk mengecas bateri telefon mereka membayar sehingga 10 taka untuk itu. Wang itu cukup untuk membeli setengah kg beras.

Alat itu mempunyai jaminan boleh pakai sehingga 25 tahun dan boleh mengecas dua telefon bimbit serentak memakan masa dua jam setengah atau sejam kiranya sebuah telefon di cas.

Pengecas itu direkabentuk untuk membolehkan pelbagai jenis telefon dicas memandangkan penyambung alatcas telefon berbeza seperti penyambung khas untuk Nokia, mini USB dan penyambung untuk Sony-Ericsson.

Ia juga mempunyai sambungan tambahan berbentuk klip untuk mengecas bateri berkekuatan enam voltan. Ini membolehkan pemiliknya menikmati bekalan elektrik tersimpan pada waktu malam untuk memasang lampu yang menggunakan enam voltan kuasa.

Pengecas ini menggunakan bahan elektronik kekal dan komponen pasif yang membuat ia tahan lama tanpa mengeluarkan isyarat gangguan kepada telefon bimbit.

Panel suria pengecas ini diperbuat daripada poli kristal silikon 5Wp bersaiz 19 sentimeter x 36.5 sentimeter disahkan oleh TUV yang memberikannya jaminan selama lebih 20 tahun. Alat pengawal elektronik di belakang pengecas ini dijamin selama lima tahun.

Dr Nowshad berkata pengecas solar Greenfinity TM ini menyediakan tenaga bersih dan selesa tanpa sebarang penghasilan gas rumah hijau. Ia sudah pun didaftarkan untuk mendapat Paten Malaysia pada 25 Jan 2011 dengan diberi nombor PI2011000346.

Dr Nowshad yang berkelulusan PhD daripada Institut Teknikal Jepun dan pasca-doktoral Amerika Syarikat telah mengajar di UKM sejak lima tahun lalu.

Berikutaan kejayaan itu, Dr Nowshad kini merancang mengeluarkan pengecas tenaga suria generasi kedua yang mampu digunakan bagi mengecas komputer riba.

Versi generasi kedua pengecas suria yang dirancang itu adalah besar sedikit daripada kertas saiz A4 seperti bentuk notebook sebesar 11 inci dengan harga jualan daripada RM180 hingga RM250 sebuah bergantung kepada di mana ia dipasarkan.

Dr Nowshad berharap dapat mengeluarkan sehingga 5,000 unit pengecas generasi kedua itu dengan memfokuskan jualan di negara-negara membangun seperti Bangladesh, Kemboja, Laos, Myanmar, India, Arab Saudi dan beberapa negeri di Malaysia seperti Sabah, Sarawak dan Pahang.

Dr Nowshad sudah pun menyiapkan rekabentuk pengecas generasi kedua itu bersama kumpulan perekanya. Tugas beliau dipermudahkan memandangkan beliau sendiri memiliki ijazah sarjana Rekaan Produk dan Perkilangan.

Beliau telah menerima bantuan berjumlah RM500,000 dari Dana Cradle dan berharap akan membantunya dalam rekaan, kajian pemasaran, pengeluaran, membina sesawang dan mendapatkan warga kerja bagi mengkomersialkan pengecas itu.

“Matlamat  utama kami memasarkan pengecas generasi kedua ini adalah secara jualan on-line dan e-pasaran kerana ini membolehkan kami berurusan terus dengan pembeli,” kata Dr Nowshad.

Dalam pada itu beliau tetap tidak lupakan asal usulnya. “Kami anak watan Bangladesh yang berjaya dan merantau serta hidup selesa di luar negara sentiasa membantu rakan-rakan kami yang ingin meneruskan pengajian. Kami telah menubuhkan sebuah yayasan pendidikan untuk menyalurkan bantuan,” katanya.

Usaha itu tercetus sewaktu beliau belajar di Jepun apabila negaranya dilanda taufan yang memusnahkan beratus ribu rumah kediaman dan hartabenda. Berbekalkan sebahagian wang saku yang disimpannya, Dr Nowshad bersama bapanya mengambil inisiatif menubuhkan yayasan itu.

Beliau menganggap dirinya bertuah kerana terpilih daripada kalangan pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan untuk meneruskan pengajian dengan biasiswa kerajaan Jepun.