UKM Penyumbang Kepada Projek Inovasi Berkesan Tinggi

SELASA, 18 SEPTEMBER 2012 16:19

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ihsan Pejabat Media Victoria University

WELLINGTON, 17 Sep 2012 – Sembilan belas daripada 42 projek dan inovasi berkesan tinggi yang dikenalpasti oleh Ajensi Inovasi Malaysia yang dianggarkan berupaya menghasilkan jualan sejumlah RM378.3 juta dalam tempoh tiga tahun adalah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Naib Canselor UKM, Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin memberikan butiran itu ketika berucap di Syarahan Saad di Universiti Victoria di sini hari ini. Beliau berkata projek-projek itu dibangunkan di bawah program Peluang Perniagaan Inovasi UKM.

Prof Sharifah Hapsah berkata pembangunan Malaysia perlukan teknologi inovasi untuk menjana ekonomi lebih-lebih lagi untuk melonjak menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menyampaikan Syarahan Saad 2012 di Universiti Victoria di Wellington, New Zealand, hari ini, Prof Sharifah Hapsah berkata UKM dan Universiti Victoria mempunyai beberapa ciri yang sama, terutama sebagai universiti penyelidikan inovasi.

Syarahan Saad ialah siri syarahan tahunan yang dianjurkan oleh Kursi Pengajian Melayu yang ditubuhkan pada 1996 di Pusat Penyelidikan Pengajian Melayu Universiti Victoria.

Pengasas Kursi itu ialah Prof Emeritus Hood Salleh dari UKM dan penyandang sekarang ialah, Prof Dr Wan Rafie seorang ahli perintis Jabatan Psikologi dan mantan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) di UKM.

 

Prof Sharifah Hapsah berkata kerjasama antara kedua-dua institusi itu adalah penting dalam usaha mewujudkan satu generasi baru pelajar dan siswazah inovatif untuk pengembangan teknologi dan kemanusiaan.

Dalam syarahannya itu, beliau telah menggariskan usaha UKM untuk menggalakan budaya inovasi dan pengusahawanan sebagai antara fokus akademiknya yang memerlukan perubahan minda di kalangan warganya termasuk pensyarah, siswa dan pentadbirnya.

Beliau berkata hubungan Malaysia dengan Victoria University telah lama dijalin dan amat memuaskan memandangkan Victoria University telah mendididik ramai pelajar Malaysia cemerlang yang kini adalah alumninya sekembali mereka untuk berkhidmat di tanah air.

Lebih penting lagi kedua-duanya adalah universiti penyelidikan yang menyumbang kepada pembangunan negara masing-masing.

 

Prof Sharifah Hapsah berkata beliau telah mengikuti aktiviti Pusat Penyelidikan Pengajian Melayu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini yang didapatinya berjaya menggalakkan penyelidikan akademik dan kefahaman budaya.

Menurut sistem taraf universiti dunia QS 2012, Victoria University berada di tangga 237, manakala UKM berada di kedudukan 261. Dalam menyusun senarai sistem kedudukan, QS meneliti lebih 2,000 universiti daripada 10,000 universiti seluruh dunia.