Wajah Baru Laman Web FSSK Lebih Interaktif Dan Mesra Pengguna Dilancar.

SELASA, 18 SEPTEMBER 2012 14:49

Oleh Nur Diyana Mohamad & Najihah Hamidin, pelatih UUM
Foto Izwan Azman

BANGI, 18 Sep 2012 – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memperbaharui laman webnya dalam usaha melaksanakan pelan penjenamaannya semula.

Ia bertujuan memberi perkhidmatan terkini kepada pelajar dan orang ramai dengan menambahbaik pengisian dan penampilannya. Ia digarap agar bersifat menyeluruh dan memenuhi keperluan pengguna.

Prof Madya Fuziah Kartini Hassan Basri dari Pusat Pengajian Media dan Komunkasi (PPMK) berkata ia dihasilkan dari syur sebuah jawatankuasa tujuh orang terdiri dari wakil dari semua pusatnya. Mereka telah bertungkus lumus selama empat bulan meninjau, mengkaji dan melakukan perbandingan dengan laman-laman web universiti lain dari dalam dan luar negara.

Webmaster FSSK, Dr Emma MirzaWati Mohamad dari PPMK berkata, laman web itu memaparkan maklumat yang diharap dapat menarik pengunjung untuk melayarinya berbanding laman web sebelum ini yang banyak menyiarkan maklumat mengenai pengurusan dan pentadbiran fakulti.

Pengisian yang dimuatkan sekarang bertujuan untuk mempromosi dan memberi publisiti mengenai pembangunan akademik di fakulti. Ia juga bertujuan menarik pelajar yang berpotensi untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi dan juga menjemput pensyarah pelawat untuk berkhidmat di UKM, katanya.

Ia dibangunkan sejajar dengan pemberian status autonomi di mana pelajar boleh memohon secara terus untuk belajar di UKM. Salah satu fungsi laman web baru ini adalah memasarkan program pengajian, kepakaran akademik, kekuatan penyelidikan dan memberi sedikit gambaran kehidupan komuniti pelajar FSSK.

Dr Emma berkata penggunaan ‘banner’, tagline dan warna hijau segar ia itu warna rasmi FSSK telah menampilkan satu kelainan kepada laman web ini yang interaktif dan lebih mesra pengguna.

Dr Fuziah percaya laman web berwajah baru itu mampu memuaskan hati pengunjung yang melayarinya. Ia juga telah mencapai satu tahap piawaian yang memenuhi keperluan audit penarafan laman web seperti yang digariskan oleh universiti.

Majlis pelancaran laman web baru FSSK itu telah disempurnakan oleh Prof Dr Mohd Safar Hasim, Pengarah Pusat Komunikasi Koporat UKM minggu lalu yang berkata usaha FSSK itu amat sesuai dan tepat kerana ia merupakan inisiatif untuk memasarkan program pengajian yang ditawarkan, mempromosi kepakaran dan bidang penyelidikan kakitangan akademik fakulti selain menonjolkan kecemerlangan FSSK.

Majlis itu diserikan dengan majlis sambutan hari raya aidilfitri 2012 FSSK. Dekan FSSK, Prof Dr Hazita Azman turut hadir.