Bahasa Melayu Untuk Sains dan Matematik

KHAMIS, 26 DISEMBER 2013 10:22

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 Dis 2013 –  Bahasa Melayu mesti kekal sebagai bahasa pengantar untuk pembelajaran Sains dan Matematik pada peringkat rendah dan menengah.

Prof Dato’ Dr Yusof Hj Othman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata usaha mengutamakan  bahasa ibunda sangat berbaloi dan telah berjaya mengembangkan pendidikan dan transformasi ekonomi Malaysia selama 30 tahun lalu.

Ketika menyampaikan ucaptama beliau pada Persidangan dua hari Antarabangsa ke 3  Sains dan Teknologi di Alam Melayu tajaan UKM di sini hari ini, Prof Dr Yusof  berpendapat sistem pendidikan kebangsaan akan terganggu jika bahasa pengantar di tukar balik ke bahasa Inggeris.

Menurut beliau, banyak negara maju tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar walaupun pada peringkat universiti.

Pengajian dalam bahasa selain daripada Bahasa Melayu lebih berguna untuk penyelidik dan akademik kerana mereka perlu merujuk kepada jurnal antarabangsa.

“Bagi pelajar sekolah, untuk apa mereka nak mentelaah bahan dalam bahasa lain, sedangkan semua yang perlu boleh didapati dalam Bahasa Melayu,” tegas beliau.

Dalam pada itu bahasa Inggeris terus dipelajari sebagai mata pelajaran pada sekolah rendah dan menegah dan keadaan ini memadai untuk melengkapkan mereka untuk memasuki universiti.

“Telah di bukti bahawa siswazah yang belajar semua bidang dalam bahas Melayu dapat memahami maklumat yang disediakan dalam bahasa Inggeris seperti mana yang didapati dalam buku-buku rujukkan dan jurnal antarabangsa kerana mereka juga belajar bahasa Inggeris sejak di sekolah lagi,” katanya.

Malahan negara-negara maju seperti Jepun, Jerman dan Korea Selatan berjaya  menerbitkan hasil kajian sains dalam bahasa ibunda mereka sendiri yang penyelidik lain dapat membaca melalui terjemahan artikel.

Beliau menegaskan perjuangan untuk penggunaan Bahasa Melayu tidak pernah luput dan mencapai kejayaan dengan penubuhan UKM pada tahun 1970.

Adalah menjadi satu kemunduran jika bahasa Inggeris diguna semula sebagai bahasa utama.

Beliau menafikan dakwaan yang negara akan mundur jika sains dan matematik tidak dipelajari dalam bahasa Inggeris.

Lebih 30 para akademik dan penyelidik pengajian Melayu mengambil bahagian dalam persidangan ini yang dianjurkan bersama oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu dan Universitas YARSI, Indonesia.

Ia dirasmikan oleh Naib canselor Prof Tan Sri Dato’ Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.