Pelajar Pertukaran Dari Kazakhstan Kagum Dengan Malaysia

RABU, 04 DISEMBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Dis 2013 – Kepelbagaian budaya Malaysia dan kepulauannya yang indah telah memukau dua pelajar Kazakhstan yang mengambil bahagian dalam program pertukaran pelajar selama satu semester di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Zhanar Bakirova dan Aksaule Ospanova, dari Almaty, kagum dengan budaya dan tradisi Malaysia semasa mengambil bahagian dalam Rangkaian Mobiliti Pelajar UKM-Global tahun 2013.

Mereka memberitahu Portal Berita UKM pada Forum dan Pameran Hari Mobiliti 2013 di sini hari ini bahawa seronok merantau sekitar Malaysia dan melawat  institusi tertentu seperti Bank Negara dan pelbagai muzium di Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak.

Zhanar (24), dan Aksaule (22), kedua-duanya pelajar pasca-siswazah sains sosial dari Universiti Ablai Khan di Almaty, Kazakhstan. Hanya mereka berdua sahaja pelajar Kazakhstan yang menyertai program mobiliti dengan UKM.

Kazakhstan adalah sebuah negara Asia Tengah yang menduduki kedua-dua benua Asia dan Eropah. Ia dikelilingi oleh Rusia di utara dan barat, China, Kyrgyzstan dan Uzbekistan di timur dan Laut Caspian ke barat daya.

Zhanar, yang kedua ibu bapanya adalah pekerja awam, berkata beliau telah mendengar banyak cerita mengenai Malaysia sebelum datang kemari dan tidak mahu melepaskan peluang mengambil bahagian dalam program pertukaran itu melalui Universiti Ablai Khan.

Zhanar dan Aksaule melawat Langkawi dan Pangkor baru-baru ini dengan 13 pelajar mobiliti dari beberapa negara lain, di mana mereka tinggal di inapan keluarga (home stay).

Buat julung kali mereka memijak pantai berpasir di Pantai Cenang dan Pantai Kok, di mana mereka mencuba beberapa jenis sukan air. Tidak seperti Malaysia, Kazakhstan adalah sebuah negara yang dilingkungi daratan dan berhampiran Laut Caspian, iaitu tasik terbesar di dunia.

Zhanar terpikat dengan penduduk kampung tradisional, termasuk masyarakat Orang Asli di Kampung Chueh II, di Perhutanan Diraja Belum, Perak.

Beliau mendapati orang asli sangat berbeza daripada rakyat Malaysia yang lain, sementara hutan di kawasan tersebut ialah hutan hujan tropika yang pertama pernah dilihatnya.

“Hutan itu begitu berbeza daripada apa yang saya pernah alami,” katanya.

Aksaule bersetuju bahawa Malaysia tidak seperti apa yang diketahui sebelum ini. Beliau telah mengembara ke Eropah sebelum ini dan mulanya merasa agak kekok berada di sini.

Seorang wanita yang lemah lembut, Aksaule berkata beliau kurang senang dengan cuaca Malaysia, tetapi terpaksa menyesuaikan diri.

Beliau, bagaimanapun, lebih gemari menghadiri sesi kuliah yang diadakan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan daripada berjemur tengah panas di luar.

“Di sini, berjalan di luar pun boleh berpeluh. Di Kazakhstan, kerana ia adalah gersang, anda kurang berpeluh,” katanya.

Walaupun Aksaule mendapati masakan Malaysia seperti satay dan ketupat menarik, beliau dan Zhanar amat rindukan makanan Kazakh. Kami kurang gemar makanan pedas,” katanya.

Yang mereka suka ialah sekurang-kurangnya sekali seminggu, semasa berehat daripada kursus, mereka singgah di restoran Kazakh di Sri Petaling dekat Kuala Lumpur untuk menjamah makanan yang menjadi kebiasaan mereka.

Di sana mereka juga dapat bertemu dengan rakyat Kazakhstan lain yang tinggal di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Semasa di Malaysia, mereka telah melawat bandar bersejarah Melaka, Putrajaya, Galeri Muzium Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur,  Taman Pemuliharaan Bakau Matang dan Industri Lestari di Taiping, Perak serta pusat kraftangan  Sarakraf dan Kampung Budaya Sarawak di Kuching.