Pemimpin Pelajar Digesa Supaya Berfikir Lebih Matang

ISNIN, 23 DISEMBER 2013 15:13

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 19 Dis 2013 – Majlis Perwakilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi di negara (IPT) ini harus lebih matang dan berfikiran lebih terbuka untuk menghadapui cabaran global.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata  sebagai badan menerajui mahasiswa di IPT, majlis itu perlu merangka dan melaksanakan program yang menjamin masa depan cemerlang siswazah di universiti.

Menurutnya tiada kebaikan langsung wujud untuk para penuntut jika badan perwakilan itu berfikiran sempit dan tidak berwawasan.

“Tahun 2020 akan tiba tidak lama lagi. Orang muda perlu melihat pada tempoh yang lebih jangka panjang,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), di sini hari ini.

Datuk Seri Ahmad Husni, yang juga Menteri Mentor UKM, berkata siswazah di negara ini perlu lebih bersedia untuk khidmat kepada negara dan kurangkan sifat berkepentingan diri.

Sebagai contoh, kata beliau, Singapura dan Korea Selatan kini dianggap sebagai negara-negara lebih maju daripada Malaysia kerana program kerahan tenaga remaja yang berjaya melonjakkan kehadapan dalam tempoh yang ringkas.

Walaupun Malaysia tiada rancangan kerahan tenaga untuk tentera seperti Singapura dan Korea Selatan, negara ini perlu mewujudkan suatu program yang mendorongkan belia supaya menumpukan perhatian kepada pembangunan.

Tambah beliau, remaja perlu lebih motivasi diri dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan untuk bantuan atau galakan.

Datuk Seri Ahmad Husni juga menasehati mereka supaya melengkapkan diri dengan kemahiran komunikasi, sama ada secara lisan atau alam siber.

Kemahiran tidak terhad kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Mereka mesti sanggup berkhidmat dalam pasukan secara sukarela.

Namun demikian, kecekapan dan pelajaran tradisional seperti menulis dan berunding juga penting dalam kerjaya dan mesti diperkukuhkan.