Pesakit Tidak Mengambil Ubat Dengan Betul

KHAMIS, 26 DISEMBER 2013 08:14

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR 19 Dis 2013 – Dianggarkan seramai 92 % pesakit yang menghidap kedua dua Diabetes dan tekanan darah tinggi (Hipertensi) gagal mengekalkan kesihatan yang memuaskan walaupun telah dibekalkan dengan bekalan ubat yang berkualiti.

Ini didedahkan oleh Prof Paraidathathu Thomas I.P.G Thomas semasa syarahan perdana beliau. Syarahan tersebut telah di adakan di Kampus Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau yang juga merupakan profesor di Fakulti Farmasi UKM berkata keadaan ini berlaku kerana pesakit gagal mengambil ubat secara betul.

Dalam erti kata mereka tidak mengambil ubat mereka langsung atau sering lupa mengambil ubat.

Pesakit yang mempunyai kedua dua diabetes dan hipertensi berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi lain seperti serangan angin ahmar (Strok).

Namun begitu, diperhatikan walaupun risiko mereka lebih tinggi, mereka masih kurang patuh.

Manakala bagi pesakit yang hanya mempunyai diabetes tetapi tidak menghidap hipertensi,  hanya 41% mematuhi rawatan ubat yang diperlukan untuk mengawal kesihatan dengan baik.

Walau bagaimanapun mereka yang menghidap hipertensi adalah lebih patuh daripada mereka yang menghidap diabetes.  Seramai 53.4 % mengambil ubat seperti yang dikehendaki.

Ini agak menyedihkan kerana mereka dibekalkan dengan ubat yang berkualiti.

Menurut beliau pada tahun 2007 sebanyak RM 84,415,000 dibelanjakan oleh sektor awam untuk ubatan diabetes. Manakala untuk Hipertensi sebanyak  RM 113,078,000 telah dibelanjakan.

Kegagalan mengikut saranan perubatan ini telah menjejaskan usaha untuk memberi rawatan sebaik mungkin.

Manakala bagi pengamal perubatan pula mereka juga tidak bebas daripada kesilapan. Seramai 80% pengamal perubatan memberi antibiotik kepada mereka yang mengidap selesema.

Antibiotik dikatakan tidak memberi sebarang kesan kepada selesema yang disebabkan oleh virus.

Sebaliknya ini mampu mengeruhkan keadaan kerana penggunaan antibiotik boleh menghasilkan mikrob yang tahan antibiotik. Ini boleh menjejaskan sistem pertahanan dalam diri.

Prof Thomas salah seorang peneraju Fakulti Farmasi di UKM. Beliau telah menerima pelbagai anugerah kerana sumbangan beliau kepada kesihatan negara.

Tetapi anugerah yang paling dihargai oleh beliau adalah anugerah yang diterima daripada pelajar beliau iaitu anugerah ‘Coolest  Lecturer.’

Turut hadir di syarahan tersebut adalah Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, dekan fakulti dan pelajar.