Prof Kamaruzzaman Sopian Kini Felo Akademi Sains Malaysia

SELASA, 31 DISEMBER 2013 11:43

Oleh Rejal Arbee
Foto Sumbangan Prof Kamaruzzaman

BANGI, 30 Dis 2013 – Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian  adalah satu-satunya sahaja pakar sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilantik sebagai felo Akademi Sains Malaysia tahun ini.

Beliau adalah di antara 19 orang ahli sains negara yang diberikan anugerah itu oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak di suatu upacara di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Felo ASM itu dipilih dalam Mesyuarat Agung tahunan ASM dalam bulan April lalu terdiri dari tiga orang dari Perubatan dan Sains Kesihatan, tiga ahli sains lain masing-masing dari Sains Hisab dan Sains Fizik serta lima orang pakar sains masing-masing dari Kejuruteraan dan Komputer, Pertanian dan Sains Kajihayat dan Sains Alam Sekitar.

Portal Berita UKM diberitahu bahawa kriteria pemilihannya adalah amat ketat. Mereka yang diberi pengiktirafan itu dibenarkan mengguna FASc di belakang nama masing-masing.

ASM adalah sebuah badan pemikir (think-tank) untuk sains dan teknologi bergiat menentukan bagaimana pembangunan negara dapat dimanfaatkan oleh sains. Ia ditubuhkan di bawah Akta Akademi Sains 1994 dan dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad pada 8 Sep 1995.

ASM kini mempunyai sejumlah 241 orang felo ia itu antara pemikir utama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi terdiri dari ahli akademik dan pemimpin industri.

Felo yang baru dilantik itu adalah:

Sains Perubatan dan Kesihatan
Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud UM
Prof Dr Khor Geok Lin IMU
Prof Dr Mustafa Ali Mohd UM

Sains Kejuruteraan dan Komputer
Prof Ir Dr Abd Halim Shamsuddin UNITEN
Prof Dr Abdul Latif Ahmad USM
Prof Dr Hamdani Saidi UTM
Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian UKM
Ir Mohd Adnan Mohd Noor RPM Engineers Sdn BhD

Sains Pertanian Kajihayat dan Alam Sekitar
Prof Dr Ibrahim Che Omar UMK
Prof Dr Mohd Tajuddin Abdullah UNIMAS
Prof Dr Fatimah Md Yusoff UPM
Dr Saw Leng Guan FRIM
Prof Dr Ng Wing Keong USM

Sains Hisab dan Fizik
Dr Mazlan Madon PETRONAS
Dr Low Kwai Sim ASPEC Sdn Bhd
Prof Noraini Muti Mohamed UTP

Sains dan Pembangunan Teknologi dan Industri
Fadilah Baharin DSM
Dr Amir Hashim Md Yatim MRB
Ir Choo Kok Beng Vertitech Group

Prof Kamaruzzaman adalah seorang pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan telah berkecimpung di dalamnya selama lebih dari 25 tahun.

Sumbangn terbesarnya adalah dalam bidang radiasi suria, sistem photovoltaic suria termaju , sistem penyejukan dari tenaga suria dan beberapa sistem tenaga suria lain.

Sebagai seorang pakar terkemuka dalam bidangnya itu, Prof Kamaruzzaman telah memberikan ucaptama di pelbagai persidangan kebangsaan dan antarabangsa mengenai tenaga boleh diperbaharui.

Beliau juga telah menerima tugasan dari pelbagai program agensi-agensi antarabangsa di 10 buah negara termasuk badan-badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, seperti UNESCO dan UNDP, Asean, EU, Canada dan British Council.

Beliau juga telah di lantik sebagai Profesor Kehormat Tenaga Diperbaharui di Fakulti Tenaga Diperbaharui, University of Nottingham, Britain (2009-2013) dan Editor Bersekutu Journal of Renewable Energy dan Journal of Sustainable Cities and Society terbitan Elsevier Ltd.

Prof Kamaruzzaman juga telah memenangi lebih daripada 90 pingat dan anugerah kebangsaan dan antarabangsa kerana sumbangannya kepada tenaga boleh diperbaharui termasuk dari Bank Pembangunan Islam, Anugerah Tenaga ASEAN dan Anugerah Pelopor Jaringan Tenaga Diperbaharui Dunia.

Beliau juga telah memperoleh dua paten sementara 20 lagi sedang dipertimbangkan selain dari enam hak cipta serta satu tanda perdagangan kerana inovasinya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.