Sains Dalam Al-Quran

SELASA, 10 DISEMBER 2013 00:00

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Dis 2013 – Ahli sains Barat menganggap semua yang berlaku dalam alam semesta adalah berdasarkan ‘peraturan alam’ (the laws of nature) hingga tidak dapat memberikan jawapan kepada semua kejadian.

Ini adalah kerana mereka telah melakukan banyak penyelidikan ke atas alam semula jadi dengan menumpu kepada kajian sains yang berbentuk empirikal sahaja, kata seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mat Rofa Ismail.

Beliau telah memberikan ceramah dalam suatu program “Hari Kesedaran Sains Tauhuddik” di sini baru-baru ini anjuran Kumpulan Penyelidikan Pusat Pengajian Kimia dan Teknologi Makanan (PPSKTM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Dr Mat Rofa berkata terdapat banyak perkara yang ahli sains Barat tidak dapat menjawab kerana hanya menggunakan sains sahaja padahal sains dan alam semula jadi boleh dijelaskan dan dijawab oleh Al-Quran.

Beliau menerangkan bahawa ali sains Barat tidak berapa lama lalu telah menemui suatu bahagian baru alam semesta di angkasa raya yang didapati bergerak dalam pusaran bercaggah arah pergerakan jam. Di tengah-tengah bulatan itu terdapat suatu ruang dikatakan sebagai suatu lubang–hitam.

Dr Mat Rofa berkata pergerakan bahagian di angkasa itu adalah mengikut arah ‘anti jam’ sama dengan apa yang dilakukan jemaah mengelilingi Kaabah di Mekah.

Kaabah yang ada di tengah-tengah Masjidil Haram berwarna hitam, sama seperti lubang–hitam di angkasa dan pergerakan pusaran itu mencerminkan pergerakan jemaah mengelilingi Kaabah.

Beliau menyifatkan ramai saintis Barat kekurangan iman dan agama menyebabkan mereka tidak tepat sepenuhnya dalam apa sahaja yang mereka lakukan hingga tidak dapat menjawab ‘kenapakah sesuatu perkara itu berlaku demikian’. Apa yang mereka menemui hanyalah boleh menjawab sedikit persoalan ‘bagaimanakah peristiwa itu berlaku’.

Manakala ahli sains Islam tahu segala apa yang berlaku di alam berlaku kerana Pencipta ingin ia berlaku demikian.

Dr Mat Rofa menerangkan bahawa keharmonian peraturan semula jadi adalah simbol pematuhan alam semesta mengikut Arah Ilahi. Dengan itu saintis Muslim tidak mengasingkan antara sains dan iman, antara ilmu dan agama kerana beranggapan mereka adalah satu.

Beliau berkata kedua-dua pengetahuan empirikal dan pengetahuan Tauhid dikaji dalam acuan yang sama, bersepadu dan saling berkaitan dan tidak berpisah, tidak seperti ahli sains Barat. Di atas prinsip inilah tamadun Islam telah terbina.

“Kita boleh belajar banyak lagi perkara tentang Bumi dan Alam hanya dengan membaca, menganalisis dan menggunakan kata-kata dan kebijaksanaan Al-Quran.

Sebagai ahli-ahli sains, kita ditugaskan untuk mencari cara-cara baru, teknologi baru dan makna baru dari alam semula jadi dan kehidupan seharian; tetapi sebagai saintis Muslim, kita tidak harus lupa bahawa asas alam semula jadi berlaku hanya atas kehendak Allah SWT, kata Dr Mat Rofa.

Beliau menambah bahawa dalam Alam semua yang hidup mesti mati, ini termasuk bintang, planet, makhluk dan manusia. Bumi sendiri mempunyai tarikh luput dengsan saintis Barat mengatakan proses itu adalah tempoh akhir dunia manakala umat Islam menganggapnya sebagai “Kiamat”.

Dr Mat Rofa berkata sebelum masa itu tiba, ahli-ahli sains Islam perlu terus belajar dari Alam dan mencari rahsia sains yang berada di dalam al-Quran.

Ahli-ahli sains Islam juga perlu menjaga iman mereka sementara mencari kebenaran sains kerana mereka mesti mempertimbangkan apa yang mereka dapati dari segi empirikal dan juga pengetahuan Tauhid.

“Kita semua hanya pelajar yang menduduki peperiksaan. Dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang kita diuji di atas bumi ini dan apabila tiba hari penghakiman, kita semua diberi gred untuk bagaimana kita melalui kehidupan ini. Dewan peperiksaan kita adalah Bumi dan teks kajian adalah al-Quran.

“Jadi belajar dan jawablah dengan baik. Semua soalan dalam peperiksaan ini telah bocor, kita semua tahu apa yang diminta daripada kita, tetapi entah bagaimana, sebagai manusia, kita masih suka untuk menipu dalam peperiksaan,” kata Dr Mat Rofa menyampaikan analogi beliau bagaimana alam semula jadi berfungsi.