Sejarah Asia Perlu Disemak Semula, Kata Pengkaji Sejarah

ISNIN, 23 DISEMBER 2013 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ra’ai Osman

BANGI,  12 Disember 2013 –Sejarah  Asia perlu di kaji semula, dengan pandangan yang bebas daripada pengaruh Barat dan bukan saja pandangan pihak berkuasa, kata sejarawan Thai.

Prof Dr. Thanet Aphornsuvan, seorang Profesor di Universiti Thammasat berkata demikian pada perbincangan meja bulat Thailand dan Malaysia di sini hari ini. Beliau dikenali dengan hasil karya beliau yang bertajuk Rebellion in southern Thailand: Contending Histories.

Perbincangan itu dianjurkan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM.

Menurut Prof Thanet kadang-kadang, sejarah mempunyai versi rasmi yang menyekat pandangan yang berbeza daripada pendapat pihak berkuasa.

Beliau memberikan contoh bagaimana Melayu Islam Selatan Thai  dilabel sebagai puak pemisah. Mereka sebenarnya adalah masyarakat biasa ingin ditadbir oleh pemimpin-pemimpin pilihan mereka sendiri.

Mereka mempunyai cara sendiri dalam menangani masalah-masalah yang timbul termasuklah mempunyai sistem perundangan mereka sendiri.

Dalam erti kata lain mereka adalah orang biasa yang menyumbang kepada negara tetapi mereka dianggap sebagai ancaman apabila mereka memulaukan pilihanraya Thailand.

Beliau berkata negara-negara di rantau ini perlu memberi ruang kepada sejarah yang tepat walaupun ia bertentangan dengan sejarah yang sedia ada.

Walau bagaimanapun Duta Besar Thai ke Malaysia Krit Kraichitti yang juga merupakan ahli panel, tidak bersetuju dengan pendapat sedemikian.

Menurut Krit malapetaka akan melanda jika wujudnya banyak  versi sejarah yang berbeza.

Ini membolehkan pelbagai pihak untuk membuat tuntutan. Ini akan menjadi modal bagi mereka yang pernah memerintah  sesebuah wilayah walaupun ia berlaku 500 tahun dahulu.

Beliau walaubagaimanapun bersetuju yang sejarah kadang-kadang dicatat oleh mereka yang berkuasa dan perlu dikaji semula.

“Kita tidak mampu menukar apa yang telah berlaku tetapi kita dapat mengawal keadaan sekarang yang akan bertukar menjadi sejarah suatu hari nanti,” kata Krit.

Jika kita masih meyimpan dendam kerana sejarah lalu maka sejarah masa depan tidak akan banyak berubah . Ini termasuk konflik sedia ada yang akan berterusan.

Tetapi jika kita hanya mengambil apa yang baik dalam sejarah yang lalu hubungan yang erat untuk membentuk sejarah yang lebih aman.

Seorang ahli panel lain, Dato’ Syed Ariff Fazillah bin Syed Awalluddin, Presiden Persatuan Malaysia-Thai, memberi ulasan yang berhati-hati. Dato’ Syed Ariff memberi tumpuan kepada  sejarah hubungan Malaysia dan Thailand secara positif.

Seorang lagi ahli panel, Prof Dr. Kobkua Suwannathat Pian dari  Universiti Pendidikan Sultan Idris juga memberi gambaran yang positif dalam perbincangan tersebut.

Beliau berkata, menurut pengetahuan beliau Malaysia tidak ada versi rasmi sejarah. Versi sejarah Malaysia sekarang sebahagiannya adalah peninggalan penjajah British.

Tetapi ramai kini menyedari bahawa sejarah kita adalah versi yang diwarisi daripada British. Kini telah tedapat initiatif untuk memasukkan pandangan yang lebih tepat.

Perbincangan Meja bulat tersebut merupakan perjumpaan pertama sedemikian. Ada kalangan peserta yang agak tidak berpuas hati kerana isu yang lebih sensitif tidak dapat dibincangkan. Sebahagian daripada para hadirin kecewa kerana isu-isu penting  seperti Masyarakat Islam Pattani tidak dibincangkan.

Walaubagaimanapun perlu dinyatakan, perjumpaan tersebut adalah perjumpaan pertama, dan merupakan titik permulaan yang baik.

Turut hadir pada perbincangan tersebut Duta Besar Ecuador, Lourdes Puma Puma, pengarah IKMAS Prof Rashila Ramli, para  pelajar dan orang ramai.