Sektor Swasta Disaran Beri Bantuan Penyelidikan Penjanaan Kuasa Dengan Bahan Api Alternatif

RABU, 04 DISEMBER 2013 10:13 ADMINISTRATOR

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Nov 2013 – Syarikat-syarikat bekalan elektrik dan gas di Malaysia digesa memberi geran kepada ahli-ahli sains untuk menangani isu-isu penting kejuruteraan seperti penggunaan bahan api alternatif.

Profesor Yong Yan dari University of Kent, United Kingdom, berkata banyak faedah bersama boleh dimanfaatkan jika syarikat-syarikat  tenaga mendapat khidmat pakar runding daripada penyelidik universiti tempatan untuk menyelesaikan masalah atau menaik taraf sistem mereka.

Dalam ceramah awamnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, Prof Yong berkata di Britain di mana beliau juga menjalankan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan, syarikat tenaga secara lazimnya berunding dengan penyelidik.

Menjawab soalan seorang penyelidik UKM, beliau berkata sektor swasta di UK memberikan geran kepada saintis jika terdapat peluang baik untuk melakukan kemajuan melalui penyelidikan.

Ceramahnya bertajuk Instrumentasi dan Pengukuran untuk mengoptimumkan Loji Kuasa Arang Batu dan Biomass, di Institut Sains Angkasa UKM (ANGKASA), Prof Yong berkata UK telah berjaya menukar hampir semua penjana elektrik daripada arang batu kepada kuasa biojisim .

Ketika peralihan itu berlaku, beliau dan penyelidik kejuruteraan lain telah diminta oleh syarikat-syarikat utiliti untuk menyediakan kaedah untuk meningkatkan pembakaran pelbagai sumber bahan api.

Cabaran yang dihadapi oleh ahli-ahli sains British amatlah berat, kerana undang-undang alam sekitar menjadi semakin ketat dan stesen jana kuasa perlu beroperasi dengan pelbagai sumber bahan api.

Walau bagaimana pun, penyelidikan itu berbaloi dan industri penjanaan kuasa sentiasa mencari cara baru untuk meningkatkan penggunaan bahan api biojisim untuk menambahkan keuntungan.

Prof Yong bersyukur kerana ketabahan dan ketekunan para penyelidik yang telah diberi geran yang mencukupi daripada industri, menghasilkan pelbagai sensor baru dan peranti yang kini boleh didapati untuk mengoptimumkan penggunaan arang batu dan biojisim tumbuh-tumbuhan.

Beliau berkata alat, sensor dan peranti yang diperlukan untuk industri telah menjadi lebih murah, teguh dan boleh diharapkan.

Antara masalah firma utiliti mahu diselesaikan ialah pemasangan pembakar baru untuk menggantikan arang batu.

Para jurutera berjaya memasang penjana elektrik yang menjimatkan wang yang menggunakan kedua-dua arang batu dan pelbagai jenis biojisim.


Pengarah ANGKASA, Prof Mohd Alauddin Mohd Ali, Prof Madya Dr Edmond Zahedi dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan Felo Kanan ANGKASA, Prof Madya Wayan Suparta telah hadir mendengar ceramah itu.

Prof Yong menerima ijazah sarjana muda dan sarjana Kejuruteraan bagi instrumentasi dan kawalan kejuruteraan dari Universiti Tsinghua, Beijing, China pada tahun 1985 dan 1988. Beliau memperolehi ijazah PhDnya dalam pengukuran aliran gas pepejal daripada University of Teesside, United Kingdom pada tahun 1992.

Beliau memasuki University of Kent pada tahun 2004 sebagai Profesor Instrumentasi Elektronik dan Ketua Instrumentasi, Kumpulan Penyelidikan Kawalan dan Sistem Terbenam. Beliau dilantik menjadi Pengarah Penyelidikan Pusat Pengajian Kejuruteraan dan Seni Digital sejak tahun 2008.

Prof Yong telah menerbitkan lebih daripada 280 kertas penyelidikan dalam jurnal antarabangsa dan prosiding persidangan di samping 12 monograf penyelidikan. Telunjuk “H”nya adalah 27 dengan lebih daripada 2,200 petikan.

Beliau kini berkhidmat sebagai ahli Kumpulan Kerja Inovasi dan Kejuruteraan dan Aliran Metrologi penyelidikan dan pembangunan Kerajaan British.

TERAKHIR DIKEMASKINI PADA RABU, 04 DISEMBER 2013 10:49