Tiada Jalan Pintas Untuk Turunkan Berat Badan

JUMAAT, 27 DISEMBER 2013 00:00

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Dis 2013 –  Kegemaran rakyat Malaysia menjamu selera menjadi punca kenapa lebih separuh daripada mereka mengalami masaalah berat badan yang boleh membawa kepada serangan jantung, diserang angin ahmar atau menghadapi masaalah pernafasan serta berkemungkinan mendapat kanser.

Malaysia kini adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai rakyat gemuk yang terbanyak di mana lebih separuh daripada mereka berada dalam kategori kegemukan teruk.

Seorang Pegawai Perubatan di Pusat Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Arif Nasar bin Sulaiman berkata terdapat lima kategori berat badan; ia itu berat biasa, berat berlebihan, gemuk, kegemukan teruk dan kegemukan melampau.

Berucap di Kempen Kesedaran Kesihatan yang diadakan di Pusanika UKM, beliau berkata 95% daripada cabaran untuk menurunkan berat badan adalah pemikiran, persepsi dan sikap seseorang yang ingin mengurangkan berat badannya.

Acara itu dianjurkan Pusat Kesihatan untuk menggalakkan gaya hidup sihat, melalui pemakanan yang betul serta senaman. Acara itu juga menyediakan pemeriksaan kesihatan menggunakan Indeks Jisim Badan (BMI) selain mengadakan pameran gaya hidup sihat.

Dr Arif berkata antara sebab kenapa rakyat negara ini menghadapi masaalah kegemukan ialah kerana ia adalah sebuah negara makmur di mana ekonominya berkembang maju hingga memberikan banyak manfaat kepada rakyat.

Ia juga kaya dengan pelbagai jenis makanan hingga orang berjenaka bahawa di Afrika orang mati kerana kebuluran tetapi di Malaysia orang mati kerana terdapat terlalu banyak makanan.

Beliau berkata pengalamannya melihat pesakit melalui serangan jantung atau angin ahmar telah membuka matanya kerana sedar dengan proses yang dilalui pesakit untuk pulih, itu pun kalau mereka itu terselamat.

Satu-satunya penyelesaian dari diserang penyakit demikian adalah dengan mengurangkan berat badan. Ini boleh dilakukan dengan sering bersenam serta mengamalkan gaya kehidupan yang baik lagi sihat.

Seseorang yang ingin menurunkan berat badannya harus percaya dia boleh melakukannya melalui senaman dan menjamu selera secara berpatutan dengan menjaga tahap kalori yang diambil, kata Dr Arif.

Kalori adalah tenaga yang diperlukan oleh badan untuk melakukan tugas harian. Tetapi kiranya terlalu banyak kalori diambil, badan tidak dapat membakar semuanya. Ini menyebabkan ia terkumpul dalam badan menjadi lemak. Untuk menjaga berat badan, Dr Arif berkata jangan makan secara berlebihan serta kurangkan pengambilan kalori.

Beliau menyarankan senaman dilakukan secara tetap bermula secara sederhana selama 5 – 10 minit sehari kemudian ditambah kepada 30 minit sehari selepas beberapa waktu hingga membawa kepada berjoging.

Senaman, katanya, bukan hanya untuk menjaga kecantikan tetapi ia adalah untuk hidup lebih lama dengan jaminan seorang yang melakukannya akan berada dalam keadaan kesihatan yang baik,” kata Dr Arif.