Insentif Kerajaan Untuk Membantu Pelajar

KHAMIS, 28 FEBRUARI 2013 00:00

By Nurul Haziqah Abdul Halim
Pix By Izwan

BANGI, 22 Feb 2013 – Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk membantu golongan muda terutamanya dalam pelajaran mereka.

Selain dari baucer buku 1Malaysia, kerajaan juga telah mengadakan BR1M untuk muda-mudi yang menerima pendapatan kurang dari RM3000 sebulan dan baucer telefon untuk menolong mereka memiliki telefon bimbit yang lebih baik dan lebih canggih, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato ‘Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Beliau berkata demikian dalam suatu upacara menyerahan baucer buku 1Malaysia itu kepada wakil pelajar UKM di Pusakina di sini hari ini.

UKM, katanya, telah menerima baucer itu pada bulan Januari lalu tetapi telah tidak mengagehkannya waktu itu kerana semua pelajar sedang menghadapi peperiksaan mereka. Keputusan diambil untuk menyerahkannya sekembali mereka untuk semester kedua.

Prof Sharifah Hapsah menasihati pelajar UKM tidak menjual baucer mereka tetapi menggunakannya dengan bijak. “UKM mempunyai lebih daripada 20,000 orang pelajar yang layak menerima baucer dan berharap mereka akan membeli buku original dari Perbadanan UKM, UNIKEB yang mempunyai banyak buku teks dan buku rujukan dan bukannya yang dicetak rompak.

Beliau kemudiannya menyampaikan baucer itu secara simbolik kepada wakil pelajar.

Turut hadir diupacara itu termasuk Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dato’ Dr Othman A Karim, Timbalan Pendaftar Jabatan Perkhidmatan Pelajar, Hj Musa Zainal Abidin Othman, ketua-ketua Fakulti dan Pengetua-pengetua Kolej Kediaman.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Ahmad Shukran Shaharudin serta wakil-wakil pelajar yang lain.