Kejayaan Cemerlang Pelajar PERMATApintar UKM

KHAMIS, 28 MAC 2013 12:34
Oleh: Abd Razak Hussin & Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto: Shafiz

BANGI, 23 Mac 2013 – Hasil pembelajaran menerusi sistem yang unik dan tersendiri menyerlahkan kejayaan semua 99 pelajar kohot pertama Pusat PERMATApintar UKM mendapat A dalam semua mata pelajaran yang mereka ambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Antara pelajar yang memperoleh kejayaan tersebut ialah Ooi Tze Ching dengan 10A+, Nur Farhana Ismail 9A+, 1A, 1A- dan Dharsshini Reveendran 9A+.

Pensyarah yang sentiasa bersedia memberi bimbingan apabila diperlukan pada bila-bila masa, menjadi inspirasi kepada Ooi untuk memerah usahanya sehingga memperolehi kejayaan cemerlang dalam peperiksaan itu.

Melihatkan dedikasi para pensyarah menjadi dorongan kepadanya memberi tumpuan kepada pelajaran untuk menccapai cita-citanya menjadi seorang ahli farmasi.

Bagi Nur Farhana pula sistem pembelajaran di Pusat PERMATApintar yang mencabar minda untuk melakukan inovasi di luar pemikiran biasa, membentuknya menjadi seorang yang kritis dan mampu menganalisis sesuatu isu dan fenomena dengan mendalam.


Beliau yang bercita-cita menjadi seorang oftalmologis berkata Pusat itu telah memberi peluang kepada mereka semua menyertai pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa termasuk bidang matematik, fizik dan alam sekitar.

Aktiviti demikian itu membolehkan mereka bertemu dan bertukar-tukar fikiran dengan ramai pelajar pintar dari seluruh dunia.

Mendapat bimbingan daripada mentor yang terdiri daripada professor dalam bidang yang diminati adalah suatu peluang yang luar biasa bagi Dharsshini Reveendran.

Pengalamannya melakukan penyelidikan yang biasanya ditempuh pelajar di peringkat sarjana bersama mentornya menjadi petunjuk jalan kepadanya untuk mencapai cita-cita menjadi seorang pakar dalam bidang onkologi.