GST Perlu Untuk Kurangkan Defisit Kewangan Negara

RABU, 20 NOVEMBER 2013 14:45

Oleh Saiful Bahri kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 18 Nov 2013 – Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijadual akan dilaksanakan tahun depan sebagaimana dicadangkan dalam bajet 2014 yang dibentangkan baru-baru ini di Parlimen, akan membantu meringankan defisit fiskal negara.

Sebuah forum yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini bersetuju bahawa pelaksanaan GST atau Cukai Tokok Nilai (VAT) tidak dapat dielakkan untuk mengurangkan hutang negara yang kini hampir 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) .

Ahli panel terdiri daripada Datuk Dr John Anthony Xavier, seorang profesor pengurusan pelawat di Graduate School of Business (GSB) UKM; Datuk Dr Denison Jayasooria, Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA) dan Nor Zahidi Alias​​, Ketua Pakar Ekonomi di Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC).

Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara yang juga mengambil bahagian di dalam forum itu menyifatkan langkah kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal sebanyak 3% menjelang akhir 2015 melalui pelbagai pembaharuan kepada penjanaan hasil dan kawalan perbelanjaan, sebagai berani dan perlu.

Forum bertajuk Melahirkan Warga UKM yang Cakna Ekonomi di pengerusikan oleh Prof Dr Mansor Jusoh dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan. Ini adalah forum ekonomi kedua mengenai bajet kerajaan yang dianjurkan oleh Kolej kediaman Dato’ Onn.

Prof Xavier berkata kini hanya 16 peratus sahaja daripada pekerja dalam negara yang membayar cukai. Dalam pada itu hasil minyak negara semakin berkurangan dan perdagangan semakin di liberalisasikan. Oleh itu GST adalah satu-satunya cara untuk meningkatkan pendapatan kerajaan yang amat diperlukan.

Pada masa ini Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) digunakan untuk mengumpul hasil daripada perniagaan.

Beliau berkata bahawa Malaysia ketinggalan dalam hal pelaksanaan GST kerana sehingga kini sejumlah 160 buah negara atau 80 peratus daripada semua negara di dunia, termasuk tujuh buah negara Asean sudah pun melaksanakan GST.

Walaupun kebanyakan rakyat sanggup menerima GST, masih  ramai yang menentangnya atas alasan kononnya ia adalah “mesin wang” untuk Kerajaan Persekutuan. Mereka berhujah bahawa kerajaan sepatutnya tidak harus diberi kuasa selama-lamanya untuk meningkatkan lagi cukai.

Bagaimanapun beliau mengakui ia tidak dapat dielakkan kerana kerajaan perlu meningkatkan pendapatannya jika Malaysia disasarkan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Sebelum menyertai UKM pada tahun 2012, Prof Xavier adalah seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) selama 36 tahun dalam perkhidmatan awam Malaysia.

Dr Denison juga seorang aktivis Hak Asasi Manusia berkata rakyat biasa pasti akan menghargai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diumumkan dalam bajet untuk meringankan kesusahan mereka sekarang.

Bagaimanapun kini harga barang-barang sudah pun naik walaupun GST belum lagi dilaksanakan.

Beliau bimbang jurang antara yang kaya dan miskin semakin renggang dalam negara sambil mencadangkan kerajaan mengelak daripada mewujudkan budaya terlalu bergantung secara automatik kepada bantuan wang tunai segera atau bonus untuk kakitangan kerajaan.

Beliau berpendapat adalah lebih baik bagi kerajaan mengadakan langkah-langkah jangka panjang dengan mewujudkan peluang pekerjaan oleh industri tempatan untuk membantu mengurangkan defisit dalam bajet.

Banyak wang boleh dijimatkan jika ada langkah serius untuk membanteras rasuah dan ketidak cekapan dalam kerajaan, kata Dr Denison.

Nor Zahidi pula menggesa kerajaan menangani ketidak seimbangan ekonomi makro dan walau pun menerima baik langkah mengenakan cukai keuntungan harta tanah (RPGT) bagi pemilik yang menjualnya dalam tempoh tiga tahun pembelian ditambah pula dengan penyingkiran Skim Berfaedah Pemaju (DIBS).

Nor Zahidi berkata RPGT akan membantu membendung spekulasi secara terhad dan sebaliknya mencadangkan tempoh jualan kembali hartanah dipanjangkan kepada sekurang-kurangnya lima tahun.

Beliau memuji langkah permulaan untuk mengurangkan subsidi, seperti petrol tetapi juga mengakui wujudnya kesusahan di kalangan pengguna, terutama di kawasan-kawasan bandar di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya, di mana pengangkutan persendirian sangat diperlukan.

Beliau menjangkakan lebih banyak pelarasan harga petrol pada suku pertama tahun depan apabila pertikaian bajet di Amerika Syarikat antara Kongres dan Whitehouse reda.

Subsidi petrol akan menjadi tumpuan kerajaan mengadakan penyelarasan subsidi.