Pelawat Diraja Brunei Di Pusat PermataPintar

ISNIN, 18 NOVEMBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi, Izwan Azman

BANGI, 12 Nov 2013 – Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Abdul Rahman, isteri Pengiran Muda Mahkota Brunei Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, berangkat melawat Pusat Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Salleh diiringi puteranya pengiran Muda Abdul Muntaqim ibni Duli yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pengiran Muda Hj Al-Muhtadee Billah.

Baginda disambut sejurus tiba di Pusat Permata Pintar oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Pengarah Permata Pintar Prof Madya Dr Melor Md Yunus.

Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan meluangkan masa sejam di situ dan diberi taklimat mengenai pusat untuk belia berbakat. Baginda juga melawat makmal kimia dan balai cerap.

Dalam ucapan aluanya, Prof Noor Azlan berkata beberapa negara telah menghantar rombongan untuk mengkaji pusat itu serta menyertai program ‘Summer Camp’ untuk remaja berbakat negara masing-masing.

Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Salleh mengiringi suaminya yang dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke Malaysia, bertujuan mengukuhkan hubungan antara kedua negara serta meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi dan pendidikan.

Pusat PermataPintar Negara adalah satu-satunya pusat kecemerlangan di Malaysia yang bertanggungjawab mengenalpasti pelajar-pelajar pintar dan berbakat dari seluruh tanah air dan memberikan mereka peluang untuk mengembangkan potensi dan bakat mereka.

Ia ditubuhkan pada tahun 2009 dibawah pentadbiran Fakulti Pendidikan dan kemudiannya telah menjadi Pusat Tanggung Jawab sendiri pada tahun 2010 di bawah Canselori.