Sektor Pengilangan Boleh Tingkatkan Penggunaan Sisa Pertanian Sebagai Bahan Api

KHAMIS, 21 NOVEMBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 20 Nov 2013 – Malaysia harus meningkatkan penggunaan sisa bersumberkan hasil perhutanan, pertanian dan perladangan bagi mengeluarkan sumber tenaga alternatif dan makanan.

Seorang penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sarani Zakaria berkata hasil itu yang dikenali sebagai lignoselulosa boleh diguna untuk menghasilkan bahan bakar yang bebas sumber petroleum memandangkan harga bahan mentah fosil semakin meningkat dan tidak stabil.

Berucap pada syarahan Perdana Profesornya di sini awal bulan ini, Prof Sarani berkata selain daripada bahan bakar untuk jentera, lignoselulosa boleh memenuhi pasaran industri makanan, kesihatan, tekstil dan sebagainya.

Pada syarahannya bertajuk Lignoselula; Sumber Keterbaharuan Untuk Produk Biopolimer Mesra Alam, beliau berkata negara perlu menggunakan sumber kayu dan tumbuhan, yang biasanya dibuang sahaja, kerana bahan itu menggunakan proses yang mampu dilakukan oleh industri dengan kos yang berpatutan.

Prof Sarani percaya bahan lignoselulosa adalah bahan mentah yang banyak dibincang dan dikaji kerana ia dapat diperolehi dengan mudah dan murah dengan banyaknya manakala ia pula adalah sumber lestari.

Beliau berkata Malaysia menghasilkan lebih daripada 100 juta ton lignoselulosa setahun yang mana 94% daripadanya adalah dari industri kelapa sawit, 4% daripada industri kayu dan 1% jerami padi.

Ia merupakan sumber biojisim yang tidak ternilai kepada ekonomi negara, kata Prof Sarani kerana ia juga dapat menghasilkan beberapa produk yang boleh memberikan pulangan lumayan.

Satu contoh ialah penapaian (fermentation) biojisim lignoselulosa kepada etanol, bahan api alternatif kepada bahan api fosil seperti petrol dan diesel.

Biojisim ini adalah sumber tenaga karbon yang neutral kerana ia berasal dari tumbuh-tumbuhan. Dengan itu pembakaran etanol lignoselulosik tidak mengeluarkan karbon dioksida.

Salah satu halangan kepada pengeluaran etanol daripada biojisim adalah gula yang diperlukan untuk penapaian lignoselulosa.

Lignoselulosa boleh didapati terutamanya daripada biojisim bersumberkan kayu-kayan dan tumbuhan, seperti sabut buah, tandan buah, jerami padi, hampas tebu, pelepah dan daun. Ia dikenali sebagai lignoselulosa kerana komponen kimia utamanya ialah selulosa dan lignin di samping beberapa komponen kimia yang lain seperti hemiselulosa.

Kayu-kayu buangan dari industri pembinaan, habuk gergaji kayu dan reja kayu daripada industri perkayuan; sampah seperti kotak, kertas, akhbar, kertas pejabat, majalah dan buku lama adalah di antara sumber lignoselulosa yang sangat berguna.

Di antara produk yang berjaya dihasilkan olehnya serta kumpulan penyelidikan dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM daripada lignoselulosa adalah pulpa, kertas dan kertas bermagnet dan poliuretan (sejenis plastik).

Beliau berkata produk yang dihasilkan daripada proses pemulpaan, pengubahsuaian kimia dan sintesis bahan baru ini, berupaya menjadi penjana ekonomi bagi industri pulpa dan kertas, tekstil, perubatan, polimer, automotif, papan lapis dan sebagainya.

Beliau yakin penggunaan biojisim dari lignoselulosa dapat mengurangkan penerokaan pembalakan hutan dan masalah pelupusan sampah oleh badan-badan berkuasa tempatan.

Prof Sarani memulakan perkhidmatannya sebagai pensyarah di Program Sains Bahan, UKM pada tahun 1995. Beliau adalah pakar dalam bidang bahan berasaskan biosumber terutama bahan lignoselulosa daripada tumbuhan.

Beliau telah berjaya memperoleh beberapa fellowship penyelidikan dan kini memegang jawatan ketua cluster sains dan gunaan peringkat UKM untuk penilaian.